Pengerusi Jawatankuasa Koperasi, Keusahawanan dan Kepenggunaan negeri, Datuk Seri Shahiruddin Ab. Moin berkata, selain pasaran tempatan, produk halal sudah lama mendapat perhatian bukan sahaja negara Islam malah di Asia dan Eropah.

Beliau berkata, sehingga ini produk berasaskan makanan negara ini antara yang terkenal dan mendapat perhatian daripada beberapa syarikat di Jepun dan bersedia untuk mendapat manfaat dengan belajar dari kepakaran pengusaha di sini.

“Produk wangian, kosmetik dan perubatan herba yang terbabit dengan industri halal mampu memberi peluang pasaran luar terutamanya di Asia Barat dan negara Islam yang lain termasuk negara bukan Islam,” katanya kepada pemberita di Bandar Baru Jerantut di sini baru-baru ini.

Shahiruddin yang mengetuai Program Jejak Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) Pahang menjelajah dan bertemu usahawan di setiap daerah turut melancarkan wangian Z'Rich Perfumes oleh usahawan kosmetik, Siti Rahmah Mohamad Anuar.

Yang hadir sama ialah Pengerusi Persatuan Doktor-Doktor Islam Malaysia (Perdim), Datuk Dr. Ahmad Shulri Ismail. 

Menurut Shahiruddin, produk wangian dan kosmetik tertentu hasil usahawan PKS tumbuh begitu pesat dan mengintai peluang pasaran luar.

“Pengusaha perlulah cermat serta menitikberatkan konsep halal selain terhindar daripada impak komplikasi kesihatan, iaitu penyakit kulit dan anggota badan. 

“Saya yakin pengusaha PKS memahami hasrat kerajaan dan mempunyai kepakaran serta kajian tertentu untuk mengeluarkan produk wangian sendiri yang halal dan berkualiti,” ujarnya.

Beliau berkata, usaha PKS menerusi produk berkenaan pastinya mampu menjadikan Malaysia sebagai hab kosmetik antarabangsa dan sebaris dengan Amerika Syarikat, Perancis dan Itali.

Dalam pada itu, Shahiruddin menyasarkan seramai 5,000 usahawan PKS pada tahun ini di bawah Program Peningkatan Enterprise Bumiputera (BEEP) oleh SME Corp. Malaysia.

“Usahawan ini akan dibantu oleh SME Corp. menerusi pendekatan dan bimbingan yang bersepadu selain kemudahan akses kepada pembiayaan,” ujarnya. 

Tambahnya, SME Corp. sentiasa memastikan bantuan yang diberikan kepada mereka terbabit dengan PKS adalah holistik, bersesuaian dan menepati keperluan perniagaan mereka.