Kerjasama dengan Unit Pene­raju Agenda Bumiputera (Teraju), SME Corp. Malaysia (SME Corp), Credit Guarantee Corporation Malaysia Bhd. (CGC) dan SME Bank Bhd. (SME Bank) dimeterai menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang disaksikan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad, di sini semalam.

JPDC diwakili Ketua Eksekutifnya, Mohd. Yazid Ja’afar dan wakil-wakil agensi masing-ma­sing Ketua Pegawai Eksekutif Teraju, Datuk Husni Salleh; Pe­ngarah Urusan SME Bank, Datuk Mohd. Radzif Mohd. Yunus; Pre­siden dan Ketua Pegawai Eksekutif CGC, Mohd. Zamree Mohd. Ishak dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy.

Hingga kini seramai 490 individu tempatan sudah me­nyatakan minat untuk menyertai program keusahawanan di Pengerang, Kota Tinggi.

Mohd. Yazid berkata, sebagai sebuah agensi Kerajaan Persekutuan dan pemudah cara di PIPC, JPDC sentiasa fokus membantu masyarakat setempat serta melindungi kesejahteraan rakyat menerusi strategi mempersiaga modal insan, memperkasa agenda bumiputera dan membantu menjana ekonomi sampingan menerusi jalinan kerjasama de­ngan empat agensi terlibat.

Menurutnya, kerjasama ber­kenaan bertujuan menyediakan akses pembiayaan kepada usahawan tempatan di Pengerang selain menyediakan kemudahan pembiayaan produk khas untuk membantu mengembangkan keupayaan atau kapasiti perniagaan dalam kalangan usahawan yang diharap mampu meningkatkan pendapatan mereka.

Menerusi MoU itu juga, agensi pembiayaan dan institusi terlibat turut menyediakan khidmat konsultansi perniagaan profesional kepada para usahawan selain menyediakan platform untuk mereka meningkatkan pengetahuan serta kemahiran melalui kursus berkaitan keusahawanan yang ditawarkan.

“Kerjasama yang dijalin itu merupakan bukti komitmen kerajaan bersama-sama agensi terlibat dalam membantu masyarakat setempat di Pengerang meningkatkan penglibatan mereka dengan membuka lebih banyak peluang yang saksama dan akses ekonomi selain memperkasa pembangunan usahawan tempatan, khususnya di kawasan terlibat,” katanya.

Justeru, Mohd. Yazid berharap menerusi kerjasama strategik itu, penduduk Pengerang yang bercita-cita dan berkebolehan menjadi usahawan dapat merebut peluang pembiayaan dan khid­mat sokongan yang ditawarkan empat agensi berkenaan, sekali gus mampu meningkatkan taraf hidup serta ekonomi mereka se­iring kepesatan pembangunan di PIPC.