BERKECIMPUNG dalam dunia korporat dan perniagaan hampir dua dekad, manakala menggalas jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif, SME Corporation Malaysia (SME Corp) selama 12 tahun begitu besar cabarannya.

Apatah lagi, wanita kental ini memegang jawatan tersebut sejak September 2004, menceritakan cabaran setelah mandat itu diberikan kepadanya.

Di sebalik nama SME Corp, Datuk Hafsah Hashim memulakan misinya supaya memastikan agensi itu menjadi pusat rujukan setempat serta penyelaras program keusahawanan dan pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Beliau berkata, setiap kementerian dan agensi mempunyai kumpulan sasaran berlainan dalam program berbeza, pihaknya mencari satu penyelesaian rasional agar dapat meningkatkan pembiayaan.

“Saya senantiasa mencari satu jalan untuk memaksimumkan produktiviti dan masih lagi belum puas untuk berbakti kepada negara.

“Bagi membantu PKS, kami berhadapan dengan kekangan bajet terhad bagi produktiviti dan inovasi agar industri ini dapat berkembang dengan baik,” katanya.

Malah pihaknya sudah mengenal pasti enam industri utama yang mempunyai potensi masih baharu seperti kluster LED, SSL, bionext dan sebagainya.

Produk sebegitu bakal memasuki pasar raya besar tempatan seperti Parkson, Tesco, Giant dan lain-lain.

Fasa seterusnya, pihaknya sudah mengenal pasti kerjasama dengan syarikat aero angkasa dengan memberi peluang pendedahan sebagai pembekal komponen peralatan kepada syarikat besar seperti Airbus, Boeing, British Airway Space dan banyak lagi.

Baginya terlalu banyak perancangan bakal dilakukan pada masa hadapan untuk menjana pendapatan dan memberi sumbangan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.

Terima kecaman dan ugutan 

Berkongsi memori pahit ketika menyandang jawatan itu, beliau berkata, terdapat satu kes yang mana ada usahawan tidak berpuas hati kerana permohonannya untuk menerima bantuan daripada SME Corp ditolak.

Katanya, individu terbabit dipercayai ejen untuk permohonan bagi tujuan kepentingan tersendiri.  

“Namun pihak kami berjaya mengesan bahawa dia seorang ejen dan telah memohon banyak permohonan namun kebanyakannya ditolak.

“Tidak berpuas hati dengan situasi ini, dia menghubungi saya secara peribadi dan mengugut untuk membuat laporan kepada menteri.

“Bukan sahaja panggilan telefon, bahkan saya turut menerima mesej daripadanya tidak kira masa termasuk tengah malam,” katanya.

Walaupun berhadapan dengan pelbagai peristiwa dalam hidupnya, namun ugutan daripada individu tersebut menggugat emosinya.

Malah beliau menyatakan tidak dapat melupakan peristiwa itu sepanjang hidup ketika memegang jawatan tersebut.

“Ia berlaku pada awal saya dilantik menjadi Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp dan tidak tahan dengan ugutan tersebut saya menceritakan perkara itu kepada ahli kumpulan lain.

“Kami sepakat untuk melaporkan perkara ini kepada pihak berkuasa agar individu itu berhenti mengugut.

“Tindakan terlampau agresif ini ternyata memberi satu pengalaman pahit bagi saya,” katanya.

Sementara itu, beliau turut berkongsi pengalaman manis kerana dapat membantu ramai usahawan mengembangkan perniagaan mereka lebih jauh.

Beliau berasa puas dapat membantu golongan PKS agar produk mereka diketengahkan di pasaran tempatan dan global.

“Paling menyejukkan hati apabila melihat kejayaan usahawan yang pernah dibantu SME Corp dan mereka amat menghargai jasa sehingga sekarang.

“Walaupun ada yang sudah ke persada antarabangsa, namun mereka tidak melupakan siapa yang pernah membantu mereka sebelum ini,” katanya.

Melihat kejayaan yang di kecapi usahawan-usahawan itu, beliau dan rakan seperjuangan amat berbangga dan kejayaan itu merupakan satu penghargaan di atas usaha bersama membantu ke peringkat lebih tinggi.

Keluarga fahami kerjaya 

Jawatannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif di salah sebuah agensi besar negara memerlukannya sentiasa berada di luar rumah.

Malah rutin hariannya sentiasa penuh dan memerlukannya bertemu dengan pelbagai lapisan masyarakat.

Bersyukur kerana memiliki keluarga amat memahami akan kesibukannya tidak seperti ibu lain.

Beliau mempunyai empat anak dan menzahirkan rasa bertuah kerana ahli keluarga faham akan tugas dan jadual hariannya.

“Saya jarang mempunyai waktu bersama anak-anak dan mereka faham akan situasi ini, begitu juga dengan suami.

“Bahkan semua anak saya pandai berdikari kerana mereka tinggal di sekolah asrama. Anak-anak tahu bahawa tugas saya memerlukan saya sentiasa berada di luar dan sangat sibuk dengan jadual harian,” katanya.

Waktu lapang bersama keluarga, beliau cuba untuk menghabiskan masa berkualiti bersama.

Malah beliau juga tidak pernah mengabaikan tanggung jawab sebagai ibu dengan memastikan bahawa keperluan anak-anak sebagai pelajar.

“Ketika bersama mereka, kami akan penuhi masa secara berkualiti dan memberi tunjuk ajar dalam pelajaran.

“Bukan sahaja keluarga sendiri, kakitangan juga ibarat famili besar kerana lebih banyak menghabiskan masa di pejabat berbanding di rumah,” katanya.

Walaupun mempunyai masa terhad bersama keluarga, beliau meluahkan rasa puas kerana dapat menjalankan tugasan sebaik mungkin dan memberi sumbangan kepada negara.

Berkongsi rahsia kejayaannya, Hafsah berkata pengurusan masa dan perkara penting perlu didahulukan dalam setiap situasi.

Program Beep untuk PKS Bumiputera 

Menceritakan mengenai program khusus PKS Bumiputera menerusi pengenalan Program Peningkatan Enterpris Bumiputera (Beep), Hafsah berkata bantuan itu disediakan sejak 2006 secara carve-out daripada skim bantuan sedia ada pada ketika itu.

Program yang dilaksanakan SME Corp menerusi 11 pejabat negeri itu bekerjasama dengan kerajaan negeri dan agensi berkaitan bagi melaksanakan Program Beep di peringkat negeri.

“Bantuan berbentuk geran dan pinjaman mudah ini diperkenalkan untuk membangunkan keupayaan dan kapasiti melalui pakej bantuan bersepadu.

“Bagi melahirkan syarikat Bumiputera dinamik, berdaya saing, mampan dan berproduktiviti tinggi di peringkat domestik dan juga global, misi utama ia ditubuhkan,” katanya.

Hafsah berkata, program Beep menyediakan bimbingan (handholding) yang merangkumi khidmat nasihat dalam bidang latihan, peningkatan proses pengeluaran, peningkatan pembungkusan produk, persijilan, akses pasaran serta aktiviti promosi dan penjenamaan.

Katanya, Beep adalah antara program di bawah SME Corp yang sangat berkesan kerana mekanisme pelaksanaan dilakukan lebih menyeluruh.

"Ia sentiasa dipantau dan dinilai bagi memastikan objektif program dapat dicapai. 

“Sebelum mempertimbangkan permohonan, penilaian Score dan MCore ke atas PKS Bumiputera akan dilakukan terlebih dahulu.

“Tujuannya untuk mengenal pasti bentuk bantuan sesuai disalurkan kepada mereka. Selepas khidmat nasihat, terdapat beberapa lagi usaha SME Corp seperti bimbingan perniagaan, program pembinaan kapasiti, keupayaan dan kemahiran berkaitan serta bantuan kewangan dalam bentuk geran,” katanya.

Kemudian SME Corp akan melakukan penilaian semula dua penilaian itu ke atas syarikat yang mendapat kemudahan bagi tujuan pemantauan selepas projek siap dilaksanakan dan menilai keberkesanannya.

Sehingga kini (September 2016), sebanyak 1,577 permohonan diterima dan daripada jumlah itu, 1,415 telah diluluskan dengan geran berjumlah RM138.51 juta.

Tube wujud peluang kerja 

Dalam masa sama, beliau berkata menyedari kepentingan belia sebagai aset penting negara masa hadapan SME Corp memperkenalkan satu lagi program, Tunas Usahawan Belia Bumiputera (Tube).

Program ini mula diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa Majlis Penutup Kongres Usahawan Muda Bumiputera pada 29 Mac 2014.


“Tube bermatlamat memupuk semangat keusahawanan di kalangan belia dan menggalakkan anjakan paradigma daripada pekerja kepada pemilik perniagaan. 

“Bukan itu sahaja, ia bagi membentuk daya tahan dalam pengendalian perniagaan dan secara tidak langsung menyokong pencapaian strategi RMK11.

“Strategi ini adalah untuk melonjakkan pendapatan golongan isi rumah berpendapatan 40 peratus terendah (B40) menerusi penglibatan dalam bidang keusahawanan,” katanya.

Pelaksanaan program Tube melibatkan kerjasama strategik antara pelbagai kementerian, agensi, institusi perbankan dan badan bukan Kerajaan (NGO) di bawah pendekatan Strategi Lautan Biru Kebangsaan (NBOS). 


Di bawah RMK11, kerajaan memperuntukkan sejumlah RM45 juta bagi melaksanakan Program Tube sehingga tahun 2020.

Beliau berkata, matlamat itu bertujuan untuk melahirkan sejumlah 2,500 usahawan baharu di kalangan belia Bumiputera iaitu 500 usahawan belia setiap tahun.

Selepas dua tahun dilaksanakan, sebanyak 935 belia kumpulan pertama dan Tube 2.0 mempunyai perniagaan sendiri dengan jumlah nilai jualan yang berjaya dijana mencecah 23.6 juta pada suku pertama tahun 2016.

Malah program itu berjaya mewujudkan sebanyak 1,513 peluang pekerjaan kepada masyarakat. 

“Terdapat tiga fasa dalam program ini dan usahawan perlu melalui kesemua fasa yang dilaksanakan menggunakan kaedah boot camp selama 12 bulan. “Selepas itu, mereka akan diberikan geran permulaan sebanyak RM15,000 setiap seorang setelah mendaftarkan perniagaan,” katanya.

Selain itu, peserta yang berjaya mengembangkan perniagaan ke peringkat seterusnya turut berpeluang memohon bantuan kewangan dan lain-lain latihan yang disediakan kerajaan.

Tubuh program baharu perkasa usahawan

Manakala, pada awal tahun ini terdapat satu lagi inisiatif untuk PKS Bumiputera diwujudkan iaitu Program Galakan Eksport Bumiputera (GEB) ketika pembentangan Bajet 2016.

Beliau berkata GEB membuktikan kerajaan kekal komited memastikan pembinaan kapasiti di kalangan usahawan Bumiputera diperkasakan agar dapat bersaing di luar negara.


“Program ini dilaksanakan dengan kerjasama Majlis Amanah Rakyat (Mara), Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) dan Exim Bank.

“Ia juga mendapat penglibatan secara langsung daripada lapan Persatuan dan Dewan Perniagaan Bumiputera sebagai projek perintis,” katanya.

Kerjasama strategik itu dimeterai dan disaksikan oleh perdana menteri selepas Mesyuarat Majlis Ekonomi Bumiputera pada 21 April 2016.

Di bawah RMK11, kerajaan memperuntukkan RM200 juta bagi Program GEB yang bertujuan membantu meningkatkan keupayaan pra-eksport PKS Bumiputera.

Dalam masa sama, ia berfungsi untuk menambah bilangan PKS Bumiputera yang berpotensi untuk menembusi pasaran luar.

“Kerajaan juga berharap agar Program GEB mampu mewujudkan rantaian dan bekalan perniagaan lebih berdaya saing di kalangan PKS.


“Langkah ini dilihat mampu bertindak sebagai pemangkin kepada penglibatan PKS untuk merebut peluang memperluaskan pasaran di bawah Perjanjian Perkongsian Trans- Pasifik (TPP) dan Komuniti Ekonomi Asean (AEC),” katanya.