Sri Ayu Kartika Amri
This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Kuala Lumpur: Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bercadang untuk menambah dana dan pinjaman mudah dalam industri automasi menjelang tahun depan.
Menterinya Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, ekoran jumlah tenaga kerja asing yang menunjukkan penurunan drastik iaitu kira-kira 117,000 orang, kebanyakan syarikat pembuatan sudah mula beralih kepada trend semasa automasi.
Katanya, pada 2014, terdapat seramai 747,866 pekerja asing di negara ini dan jumlah itu menurun kepada 631,393 orang tahun lalu.
“Isu ini boleh ditangani dengan persediaan syarikat dalam Revolusi Perindustrian Keempat serta menumpukan industri automasi.
“Kami memahami permasalahan yang dihadapi syarikat dan merancang lebih banyak dana dan pinjaman mudah akan disediakan untuk membantu lebih banyak syarikat beralih kepada automasi dan robotik,” katanya.
Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas sesi dialog antara MITI bersama Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) dan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Antarabangsa Malaysia (MICCI).
Hadir sama, Presiden FMM, Tan Sri Dr Lim Wee Chai dan Presiden MICCI, Datuk Wira Jalilah Baba.
Mustapa berkata, bagaimanapun, kesanggupan dalam kalangan pemain industri untuk mengamalkan automasi masih rendah dan pinjaman serta dana adalah penting untuk membantu syarikat beralih ke automasi.
Menurutnya, menerusi Malaysian Industrial Development Finance Bhd (MIDF) juga, RM1.5 bilion pinjaman sudah diagihkan kepada 425 syarikat di bawah Skim Pinjaman Mudah Bagi Automasi dan Modenisasi (SLSAM) sejak ia diperkenalkan pada 2007.
Beliau berkata, skim pinjaman itu adalah bagi membantu pengilang tempatan memoden dan mengautomasi proses pengeluaran, meningkatkan kemampuan dan kapasiti serta mengurang kebergantungan kepada aktiviti berintensifkan buruh asing.
“Kami berharap lebih banyak dana akan disalurkan kepada MIDF dalam belanjawan 2018 dan kami juga akan meningkatkan had pinjaman kepada RM20 juta dari RM10 juta pada masa ini,” katanya.
Di bawah SLSAM jumlah pembiayaan yang ditawarkan adalah antara RM50,000 dan RM10 juta.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 Ogos 2017 @ 8:14 AM