KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia perlu mengubah strategi pemasaran perniagaan bagi membolehkan industri tempatan lebih mudah menembusi pasaran Eropah.
Ia berikutan strategi perdagangan seperti e-dagang, perniagaan dalam talian terutama industri makanan dan minuman (F&B) yang berjaya menarik lebih banyak negara Eropah lain melabur di negara ini.
Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berkata sehingga kini tidak banyak perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tempatan melabur di negara Eropah, tetapi dalam tempoh setahun dua ini, negara seperti Jerman dan Belanda menunjukkan minat melabur di sini.
"Ini bermakna kita perlu mengubah strategi pemasaran perusahaan bagi menarik lebih banyak pelabur asing berikutan potensi besar dalam F&B termasuk banyak usahawan muda menerokai pasaran terbabit," katanya.
Terdahulu, Mustapa menyertai sesi dialog dan perkongsian maklumat dengan kira-kira 200 wanita pada majlis sepetang bersama menteri, Time for Tea anjuran SME Corp Malaysia di Platinium Sentral di sini, hari ini.
Ia turut disertai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rohani Abdul Karim.
Pada majlis itu, Mustapa turut melancarkan penjenamaan semula Pusat Rujukan Setempat SME Corp Malaysia kepada Hab Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang dilihat sebagai usaha mengukuhkan lagi fungsi serta peranannya menyalurkan maklumat, bantuan dan insentif pembangunan PKS.