KANGAR: Sebanyak RM64.24 juta potensi jualan dicatatkan sepanjang Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2017 yang berlangsung di seluruh negara bermula dari 4 Mei hingga hari ini.
DATUK Seri Azlan Man, (kanan) bersama Ketua Eksekutif SME Corp Malaysia, Datuk Dr Hafsah Hashim, (dua dari kanan) beramah mesra dengan peniaga telekung Milyaihani, Che Zauwiyah Ahmad Shah, (dua dari kiri) ketika melawat gerai pameran jualan selepas Majlis Perasmian Penutup Minggu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) 2017 Peringkat Negeri Perlis di Perkarangan Giant Superstore. - Foto Azhar Ramli
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Hafsah Hashim, berkata jumlah itu diperoleh melalui 474 sesi pemadanan perniagaan yang direkodkan, berbanding 318 sesi yang direkodkan pada tahun lalu.
Katanya, dari segi penyertaan, sebanyak 251 PKS terbabit pada tahun ini dengan 199 pada tahun lalu, iaitu peningkatan sebanyak 26 peratus.
"Antara pasar raya dan syarikat besar yang menyertai sesi pemadanan tahun ini ialah Mydin, Giant, AEON Co, Tesco, Lulu, Pasaraya Borong Sakan dan Ramly Halal Mart.
"Sesi pemadanan perniagaan turut disertai oleh Lazada Malaysia yang memberi peluang kepada usahawan untuk memasarkan produk mereka secara atas talian. Di bawah inisiatif ini, 99 PKS mendaftar dengan Lazada," katanya, hari ini.
Beliau berkata demikian selepas Majlis Penutup Minggu PKS 2017 peringkat kebangsaan yang disempurnakan oleh Menteri Besar Perlis, Datuk Seri Azlan Man, di Pasaraya Giant, di sini.
Minggu PKS 2017 menyaksikan pelbagai aktiviti berbentuk keusahawanan dijalankan di seluruh negara dengan bertujuan meningkatkan ilmu membudayakan keusahawanan dalam kalangan masyarakat.
Hafsah berkata, tahun ini sebanyak 335 aktiviti dilaksanakan di 15 lokasi seluruh negara berbanding 291 aktiviti pada tahun lalu.
"Karnival jualan yang dilaksanakan di seluruh negara turut mempromosi produk dan perkhidmatan daripada 1,238 pempamer dan mencatatkan lebih 220,000 pengunjung," katanya.