KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia (SME Corp) menyasar lebih 2,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan dicalonkan dalam anugerah berprestij, Enterprise 50 (E50) kali ke-20 tahun ini.
Pengerusinya, Tan Sri Ir Dr Mohamed Al Amin Abdul Majid, berkata sepanjang 19 tahun lalu, pihaknya sudah menerima sebanyak 1,927 pencalonan daripada PKS di negara ini.
"Kami yakin jumlah itu akan meningkat pada tahun ini kerana anugerah E50 telah menunjukkan banyak kisah kejayaan daripada penerima terdahulu.
"Hingga kini, sebanyak 664 syarikat sudah dinobatkan sebagai pemenang dan 60 daripadanya sudah disenaraikan di Bursa Saham dengan 50 syarikat di Pasaran Utama, manakala 10 lagi di Pasaran ACE.
"Selain itu, terdapat peningkatan jumlah syarikat PKS yang sedang bersedia ke arah penyenaraian awam," katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran anugerah berkenaan di sini, hari ini.
Hadir sama pada majlis pelancaran itu Ketua Eksekutif SME Corp, Datuk Dr Hafsah Hashim.
Anugerah E50 itu akan berlangsung pada 17 November depan. Ia disokong oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri serta dianjurkan bersama oleh SME Corp dan Deloitte.
Tempoh pencalonan bermula pada 6 April hingga 16 Jun depan.
Sementara itu, Hafsah berkata pihaknya menyasar 50 peratus daripada PKS di negara ini turut beroperasi menerusi platform dalam talian menjelang tahun 2020.
"Pada masa ini, sebanyak 32 peratus PKS sudah beroperasi dalam talian.
"Bagi menggalakkan lebih banyak PKS membabitkan diri dalam dagangan elektronik, kami menjalin kerjasama dengan pengendali dagangan elektronik terkemuka seperti 11street dan Lazada bagi menubuhkan akademi latihan dalam talian," katanya.
INFO
*Anugerah E50 mula diperkenalkan pada tahun 1997