KUALA LUMPUR: Eksport negara pada Oktober 2017 berkembang 18.9 peratus kepada RM82.41 bilion, melebihi angka RM80 bilion buat kali ketiga pada tahun ini.
Jumlah perdagangan Malaysia pada bulan sama turut melonjak 19.8 peratus kepada RM154.26 bilion berbanding Oktober 2016.
Perdagangan dengan ASEAN, China, Amerika Syarikat (AS), Hong Kong, Jepun, Kesatuan Eropah (EU) dan Taiwan ialah penyumbang utama kepada pertumbuhan ini.
Import pula meningkat 20.9 peratus kepada RM71.85 bilion, demikian menurut kenyataan Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).
Prestasi pada Oktober menyaksikan lebihan dagangan meningkat kepada RM10.56 bilion, nilai tertinggi dicatatkan sejak April 2016, sekali gus lebihan dagangan bulan ke-240 berturut-turut sejak November 1997.
Sementara itu, MITI berkata berdasarkan perbandingan bulan ke bulan, jumlah perdagangan, eksport dan import masing-masing berkembang 4.3 peratus, 5.3 peratus dan 3.2 peratus.
"Jumlah perdagangan pada 10 bulan pertama 2017 bernilai RM1.465 trilion, berkembang 21.5 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu.
"Eksport berjumlah RM772.66 bilion, naik 21.1 peratus manakala import mencecah RM692.51 bilion, meningkat 21.9 peratys. Lebihan dagangan bernilai RM80.15 bilion direkodkan, naik 14.4 peratus berbanding tempoh yang sama tahun lalu," katanya.
Pada Oktober lalu, semua sektor eksport mencatatkan pertumbuhan positif dengan eksport barangan perkilangan meningkat 19.5 peratus atau RM11.11 bilion kepada RM68.07 bilion, menyumbang 82.6 peratus daripada jumlah eksport negara.
Peningkatan itu, kata MITI disokong khususnya oleh kenaikan eksport barangan elektrik dan elektronik (E&E) dan keluaran petroleum, yang secara kolektif menyumbang 54.8 peratus kepada jumlah eksport barangan perkilangan.
"Semua subsektor utama mencatatkan pertumbuhan dua angka dalam eksport kecuali barangan makanan diproses dan barangan kayu," katanya.
Dari segi pasaran, perdagangan dengan ASEAN pada Oktober meningkat 22.4 peratus kepada RM43.28 bilion, berbanding setahun lalu, merangkumi 28.1 peratus daripada jumlah perdagangan negara.
Perdagangan dengan China pada Oktober meningkat 18.8 peratus berbanding setahun lalu kepada RM25.02 bilion, merangkumi 16.2 peratus daripada jumlah perdagangan Malaysia.
Eksport ke China berkembang 20.5 peratus kepada RM11.45 bilion, disokong oleh kenaikan eksport gas asli cecair (LNG), barangan perkilangan logam, keluaran petroleum, kimia dan bahan kimia, keluaran getah serta petroleum mentah.
Eksport ke China pada Oktober mencatatkan pertumbuhan tahunan lebih pantas berbanding import buat tujuh bulan berturut-turut.