Languages: Others

Pelan Induk PKS Memangkin Pertumbuhan Dan Pendapatan PKS

KUALA LUMPUR, 30 Dis (Bernama) -- Pada usia 27 tahun, Selvestone Junit berhasrat menjalankan perniagaan pusat peranginan eko di kampung halamannya, tetapi tidak mempunyai dana dan pengetahuan teknikal untuk memulakannya.

Namun, anak kelahiran Sabah ini bernasib baik apabila menyertai Program Cabaran Perniagaan Luar Bandar yang dianjurkan oleh Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW).

Ia membantu beliau memenangi RM500,000 dalam bentuk geran bagi merealisasikan wawasannya.

Hari ini, Selvestone mengendalikan Panorama Paradise Resort di Kota Marudu dan merupakan antara usahawan kecil dan sederhana yang mendapat manfaat daripada Pelan Induk (2012-2020) yang dipantau oleh SME Corp. Malaysia.

Dalam mengiktiraf bahawa ramai belia Malaysia memiliki bakat yang besar, SME Corp. Malaysia merumuskan Pelan Induk tersebut, dengan strategi untuk membangunkan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang lebih kompetitif pada masa depan berlandaskan platform global.

Di bawah Pelan Induk ini, enam Program Berimpak Tinggi (HIP) dan 26 inisiatif sokongan telah dirancang ke arah mengubah PKS menjadi 'game changer' (pembawa perubahan), sesuai untuk bersaing dengan syarikat antarabangsa.

HIP 1: Integrasi Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan, berjaya mewujudkan Portal MalaysiaBiz, sebuah platform gerbang tunggal untuk memudahkan langkah pertama usahawan tempatan ke dalam industri perniagaan.

Ia membolehkan individu yang berdaya saing seperti Selvestone mendapatkan nasihat yang bernas untuk merangka pelan perniagaan mereka melalui tiga langkah mudah.

Percubaan awal Selvestone sendiri untuk memulakan perniagaannya dipenuhi dengan kekecewaan disebabkan pengalaman terhad beliau.

"Saya tidak mempunyai rangkaian sokongan dan tiada pengalaman pemasaran. Saya belajar melalui percubaan dan kesilapan serta menjalinkan rangkaian dengan usahawan-usahawan yang mempunyai lebih pengalaman dan pengetahuan perniagaan, dan juga dengan pelbagai Agensi Kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di seluruh Sabah," kata Selvestone.

Beliau percaya inisiatif kerajaan tersebut akan membantu usahawan lain bertapak dalam perniagaan mereka.

"Kita mesti tahu secara menyeluruh perniagaan kita, jika tidak, kita akan mudah ditipu atau dimanipulasi oleh orang lain. Ramai usahawan bercita-cita mahu menjalankan perniagaan tetapi tidak mempunyai motivasi dan rancangan yang jelas. Tanpa objektif dan pelan perniagaan yang jelas, kegagalan pasti tidak dapat dielakkan," katanya.

Portal MalaysiaBiz merangkumi maklumat pelesenan untuk kira-kira 1,174 aktiviti perniagaan di bawah Piawaian Klasifikasi Industri Malaysia 2008 (MSIC 2008), seperti yang disediakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Maklumat ini termasuk peraturan pelesenan merentasi peringkat persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan.

HIP 1 merupakan usaha antara agensi yang diketuai oleh Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) dengan kerjasama SME Corp. Malaysia, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU), Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC), dan kerajaan-kerajaan Negeri.

Susulan pelancaran Portal MalaysiaBiz di Sabah pada Julai tahun ini dan Sarawak pada bulan berikutnya, konseptualisasi di bawah HIP 1 kini telah lengkap. Ini berjaya direalisasikan selepas usaha selama satu tahun untuk mengadakan sesi penglibatan dengan PKS di Semenanjung Malaysia bermula Mei 2016.

Satu lagi kisah PKS yang berjaya ialah mengenai Malaysian Yoghurt Company Sdn. Bhd di Negeri Sembilan.

Produk syarikat ini mula-mula dihasilkan di dapur kecil sebuah rumah pada 1983.

Selepas 34 tahun, ia telah berkembang menjadi pesaing yang setaraf dengan jenama dadih diimport dan boleh didapati dengan mudah di pasar raya.

Syarikat Malaysian Yoghurt menerima anugerah PKS Terbaik (Negeri Sembilan) di Ekspo Makanan Selamat 2015 serta meraih tempat ke-11 dalam Anugerah Enterpris 50 (E50) 2016 anjuran SME Corp. Malaysia.

Syarikat ini juga telah menerima pensijilan ?National Mark of Malaysian Brand? daripada SME Corp. Malaysia.

Menurut Pengarah Urusannya, Ramesh Gomez, apabila PKS seperti syarikatnya berkembang, mereka berkemungkinan menghadapi pelbagai cabaran tambahan dari segi kepakaran berkaitan kewangan, sumber manusia, pemasaran dan pematuhan peraturan.

"Pemilik perniagaan mungkin memiliki kepakaran dalam bidangnya yang khusus, tetapi tidak semestinya dalam bidang lain. Jika tidak ditangani, ia boleh menjadi satu kelemahan yang mengakibatkan masalah besar kepada perniagaan," kata Gomez.

Beliau percaya bantuan Kerajaan boleh memainkan peranan penting dalam hal ini, yang berhubung kait dengan lima HIP lain di bawah Pelan Induk, iaitu HIP 2: Platform Pengkomersialan Teknologi (TCP), HIP 3: Program Pelaburan PKS (SIP), HIP 4: Program Going Export (GoEx), HIP 5: Program Pemangkin dan HIP 6: Program Keterangkuman Inovasi.

Melalui HIP 2 (TCP), PKS yang sedang berkembang akan dapat mengatasi halangan pasaran dan pembiayaan dalam usaha mereka untuk berinovasi.

Ini akan memudahkan mereka untuk melabur dalam teknologi yang dipercayai, sekali gus mengurangkan risiko yang dihadapi.

Matlamat akhir adalah untuk memastikan PKS boleh membangunkan produk dan perkhidmatan dengan kos yang lebih rendah dan tempoh masa-ke-pasaran yang lebih pendek.

Bagi Gomez, ini dapat membantu syarikatnya berkembang bersama-sama dengan keinginan pengguna yang sentiasa berubah.

"Salah satu cabaran terbesar yang kami hadapi, sebagai sebuah perniagaan makanan PKS, adalah untuk kekal relevan dalam dunia yang sedang berubah dengan pesat.

"Seni pembuatan dadih mungkin tidak banyak berubah sejak berabad lamanya tetapi pengguna mengharapkan jenama dadih memperkenalkan produk yang lebih inovatif, selari dengan cita rasa mereka," katanya.

Sehingga kini, Agensi Inovasi Malaysia melalui anak syarikatnya, PlatCOM Ventures Sdn. Bhd, sebagai peneraju HIP 2, telah membantu 110 syarikat dan mengkomersialkan 10 produk.

Bagi Nik Juzailah binti Juhairi, mengembangkan perniagaan ramuan herbanya, Sireh Emas Marketing Sdn. Bhd, ke pasaran antarabangsa adalah visi beliau yang seterusnya.

Beliau yang merupakan graduan dalam bidang pengajian perniagaan dari Universiti Malaya, berjaya mengemudi perniagaan kecilnya, yang pernah gagal sebelum ini, menjadi sebuah pengeluar pelbagai dengan 48 produk penjagaan kulit dan badan, dan memiliki seramai 38 orang pekerja.

Beliau menerima bantuan kewangan kira-kira RM200,000 di bawah Skim Peningkatan Kapasiti dan Keupayaan PKS (BAP) untuk pembungkusan dan pengiklanan yang disediakan oleh SME Corp. Malaysia.

Dalam pada itu, HIP 4: Program Going Export (GoEx) dibentuk bagi membantu usahawan seperti Nik Juzailah mencapai matlamat mereka yang selanjutnya.

"Kami telah menerima tempahan dari Kemboja dan kami kini sedang berusaha menembusi pasaran Myanmar dan Indonesia, yang mempunyai jumlah penduduk besar," katanya.

Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (MATRADE) adalah agensi pelaksana yang dilantik untuk memupuk PKS tempatan di bawah Program GoEx.

Program ini bertujuan untuk membantu PKS mengatasi kos pendahuluan yang tinggi apabila memasuki pasaran baharu, serta memperoleh ilmu yang berharga mengenai pasaran dan pesaing baharu.

Syarikat sedia eksport seperti Sireh Emas Marketing milik Nik Juzailah dan juga syarikat pengeksport berpotensi tinggi dalam semua sektor layak memohon untuk menyertai program ini.

Di bawah GoEx, para usahawan akan menerima nasihat dan bantuan pemasaran khusus daripada penasihat pasaran dan penghubung pasaran yang dilantik bagi membantu meningkatkan prestasi PKS dengan ketara.

Kesemua HIP ini adalah selaras dengan sasaran yang digariskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak untuk industri PKS mencapai sumbangan 41 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2020.

Sumbangan PKS terhadap KDNK adalah sebanyak 36.6 peratus pada 2016, meningkat 0.3 peratus daripada tahun sebelumnya. Berbanding 2010, dua tahun sebelum pengenalan Pelan Induk PKS, sumbangan PKS kepada KDNK pada tahun itu telah direkodkan pada 32.2 peratus.

Pada Julai tahun ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Wee Ka Siong mengumumkan bahawa beliau yakin sasaran yang ditetapkan dalam Pelan Induk PKS (2012-2020) akan tercapai sekiranya pembangunan PKS mengekalkan pertumbuhan purata tahunan sebanyak 6.7 peratus seperti yang dicatatkan sepanjang 2011 hingga 2015.

Beliau berkata pada 2016, 98.5 peratus pertubuhan perniagaan di Malaysia terdiri daripada PKS, yang telah menyumbang sebanyak 36.6 peratus kepada KDNK negara, 65.3 peratus kepada pekerjaan, dan 18.6 peratus kepada eksport.

-- BERNAMA

CONTACT US

SME Corporation Malaysia
Level 6, SME 1, Block B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Info Line: 03-9213 0077
Fax Line: 03-2775 6001
Email: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

Feedback Form

 

AGENCY LINKS

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

ABOUT
POLICIES

SME in Malaysia

SME Perfomance & Outlook

National Entrepreneurship Policy 2030 (DKN2030)

SME Policies

PROGRAMMES
INITIATIVES
GUIDES

Business Guides

Success Stories

Business Directory

Business Ethics

RESOURCES
CONTACT US