KUALA LUMPUR - Kementerian Pembangunan Usahawan akan mewujudkan sistem Pangkalan Data Usahawan Nasional pada pertengahan tahun hadapan.

Timbalan Menterinya, Datuk Dr Mohd Hatta Ramli berkata, pembangunan pangkalan data yang akan menguruskan data usahawan secara lebih komprehensif itu akan menggunakan sumber sedia ada di kementerian dan agensi di bawahnya.

“Pangkalan data ini akan dilaksanakan oleh Business Licensing Electronic Support System (BLESS) yang juga bertanggungjawab ke atas proses pengautomasian lesen perniagaan untuk semua agensi kerajaan, tidak kira kerajaan negeri atau persekutuan.

“Pangkalan data ini, yang sekarang dalam fasa pembangunan, akan melibatkan integrasi dan migrasi keseluruhan input data usahawan nasional, sama ada daripada SME Corporation Malaysia (SME Corp), Institut Keusahawanan Negara (INSKEN), koperasi dan lain-lain yang dikumpulkan di bawah satu sistem,” katanya ketika sesi soalan lisan di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Seri Khairudin Samad yang ingin tahu sama ada kementerian   mempunyai  sistem pengurusan data usahawan dalam talian dan bentuk bantuan bagi membantu usahawan memasarkan produk mereka ke luar negara.

“Pangkalan data ini akan mengasingkan dan mengumpulkan segala input penting berkaitan usahawan di negara ini yang diyakini bukan saja memanfaatkan seluruh agensi kerajaan tetapi juga masyarakat,” katanya.

Beliau berkata, data usahawan turut boleh didapati di organisasi seperti Majlis Amanah Rakyat (Mara) serta  Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan data daripada organisasi itu juga akan cuba diselaraskan untuk disatukan di bawah pangkalan data berkenaan supaya boleh diakses oleh semua pihak berkeperluan.

“Ia boleh digunakan untuk mencari bidang perniagaan yang terbaik, mencari rakan kongsi dan mencari peluang untuk membawa hasil produk keluar negara,” katanya. - Bernama