Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah berkata, biarpun kerajaan negeri dan Pusat berbeza fahaman politik, namun itu bukan halangan untuk bekerjasama demi kepentingan rakyat.

“Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam titah baginda menggalakkan kerajaan negeri supaya bekerjasama dengan Pusat.

“Oleh itu kita bersedia menyediakan tempat untuk menjayakan kursus, seminar bagi menjayakan program keusahawanan,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Karnival Keusahawan Pantai Timur di Dataran Pantai Teluk Cempedak di sini hari ini.

Yang hadir sama Pengerusi Ahli Perbadanan SME Corp., Datuk Seri Syed Hussien Al-Habshe dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp., Noor Azmi Mat Said.

Karnival Keusahawan Pantai Timur yang dianjurkan kerajaan negeri dengan kerjasama SME Corp. akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini.

Seramai 5,000 pengunjung disasar hadir ke program itu dan penglibatan 400 usahawan yanh terdiri daripada usahawan pempamer, penerima geran Program Peningkatan Perusahan Kecil dan Sederhana Bumiputera (BEEP) dan bekas peserta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE). - UTUSAN ONLINE