Pengerusi Ahli Perbadanan SME Corp., Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee berkata, jelajah SDSI berkenaan ialah di Perak pada 19 dan 20 Januari lalu, diikuti SDSI Zon Timur di Terengganu pada 15 dan 16 Februari dan Zon Selatan berlangsung di Melaka pada 26 hingga 28 April lalu.

“Dalam tiga siri jelajah itu, seramai 18,422 pengunjung dicatatkan dengan nilai jualan tunai sebanyak RM375,300.

“Ini menunjukkan potensi besar yang boleh diteroka usahawan kita, terutamanya yang terbabit dalam perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk mencari peluang perniagaan mereka melalui program seperti ini,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Karnival Keusahawanan Pantai Timur di Dataran Teluk Cempedak di sini hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Felda, Koperasi, Usahawan dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Datuk Nazri Ngah.

Syed Hussien berkata, kemuncak kepada siri jelajah itu ialah penganjuran Minggu Usahawan Nasional dan SDSI Peringkat Nasional pada 28 Ogos ini di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS), Serdang, Selangor.

“Program itu akan mengumpulkan semua usahawan PKS dari seluruh negara,” katanya. - UTUSAN ONLINE