KUALA LUMPUR 4 April 2019 - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof di Majlis Anugerah Meraikan Kecemerlangan Personaliti Industri dan Usahawan di Hotel Sheraton Imperial, di sini hari ini.Gambar - ABDUL NAZIR MOHAMED / Pemberita - HAFIZ (am Utusan)
KUALA LUMPUR 4 Sept. - Menteri Pembangunan Usahawan, Datuk Seri Mohd. Redzuan Mohd. Yusof akan mengetuai delegasi Malaysia ke Mesyuarat Peringkat Menteri bagi Perusahaan Kecil dan Sederhana Kerjasama Asia-Pasifik (APEC SME) ke-25, selama dua hari mulai esok di Concepcion, Chile.
Anggota delegasi lain terdiri dari para pegawai kanan Kementerian Pembangunan Usahawan (MED), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC).
Dalam kenyataan hari ini, MED berkata mesyuarat itu bermatlamat untuk mempromosi hubungan rentas sempadan dan membuka peluang kepada PKS untuk menjadi sebahagian daripada rantaian nilai.
“Pada Mesyuarat PKS APEC, Mohd Redzuan dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan rakan APEC seperti Chile dan China untuk bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan tekini berkaitan PKS dan keusahawanan selain meneroka potensi kerjasama dua hala dengan ekonomi lain APEC,” katanya.
Menurut kenyataan itu, isu yang akan dibincangkan pada mesyuarat itu meliputi transformasi digital untuk PKS, pembiayaan PKS yang meliputi pembiayaan alternatif untuk merapatkan jurang dalam ekosistem pembiayaan PKS, pembiayaan inovatif berkaitan firma teknologi kewangan (fintech) dan pentingnya pengantarabangsaan sebagai strategi kompetitif.
“MED akan berkongsi formulasi Dasar Keusahawanan Nasional yang inklusif dan kompetitif yang bermatlamat merasionalisasikan dan memberi tumpuan semula kepada semua fungsi, selain peranan program pembangunan usahawan dalam menyokong agenda ekonomi negara,” katanya.
Program lain termasuk Forum Dalam Talian-kepada-Luar Talian (O2O) dan Sidang Kemuncak Antarabangsa Fintech APEC, yang dihadiri pegawai dari SME Corp dan MaGIC.
MED juga akan memberikan maklumat terkini mengenai persediaan Malaysia untuk menganjurkan Mesyuarat Peringkat Menteri PKS APEC di Kuala Lumpur tahun depan. - BERNAMA