KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia akan melaksanakan pelan mitigasi bagi membantu industri kecil dan sederhana jika penularan novel koronavirus 2019 (2019-nCoV) semakin membimbangkan sehingga menjejaskan pretasi ekonomi industri itu. Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan perusahaan kecil dan sederhana (PKS), ia akan bekerjasama dengan kerajaan serta agensi berkaitan dalam penyediaan pelan tersebut sekiranya perlu.“Penularan koronavirus ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap industri PKS terutamanya kepada
sektor pelancongan dan peruncitan. “Sebagai contoh, sambutan Tahun Baru Cina baru-baru ini, industri pelancongan menerima impak seperti pembatalan tempahan dari pelanggan yang ingin mengelak risiko koronavirus,” katanya kepada Bernama.Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata SME Corp juga akan melaksanakan beberapa program dan aktiviti bagi memastikan industri PKS dapat membantu kerajaan untuk mencapai KDNK yang disasarkan.“Program yang akan dilaksanakan dengan kolaborasi bersama agensi berkaitan dalam membangunkan industri PKS untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran," katanya.
Disember tahun lepas, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata kerajaan mengekalkan sasaran unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.8 peratus untuk tahun ini walaupun World Bank menyemak semula unjurannya kepada 4.5 peratus. Sementara itu, Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad, semalam mengesahkan dua kes baharu koronavirus dan menjadikan 14 kes di Malaysia setakat ini.Jangkitan koronavirus bermula dari bandar Wuhan dalam wilayah Hubei, China dan telah merebak kes seluruh dunia termasuk Malaysia dan Singapura dengan 563 kematian sehingga kini. – Bernama