Languages: Others

Lindungi pekerja, wujudkan pekerjaan baharu

 

“SEDIAKAN payung sebelum hujan” dan “beringat sebelum kena”—dua pepatah Melayu yang relevan apabila mengenang kembali pelbagai tekanan yang pernah dihadapi kerajaan sebelum Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) berjaya dilancarkan pada awal 2018.

Antara bantahan yang dikemukakan sebelum rang undang-undang SIP diluluskan Dewan Rakyat termasuklah alasan peningkatan kos perniagaan dan pertikaian tentang kadar caruman yang dirasakan tinggi berbanding bilangan pembuangan kerja yang rendah pada waktu itu, sehingga ada yang mendakwa SIP merupakan satu cara kerajaan “buat duit”.

Segelintir pihak pula merasa undang-undang sedia ada sudah memadai dan ada pula yang cuba melobi agar Pampasan Henti Kerja di bawah Akta Kerja 1955 dimansuhkan jika SIP diperkenalkan.

Melindungi pekerja dan pekerjaan

 

Hari ini, pasti ramai yang bersetuju bahawa SIP adalah antara satu langkah berpandangan jauh dalam memantapkan jaringan perlindungan sosial pekerja Malaysia. Prospek pasaran buruh dijangka lemah lantaran penularan wabak Covid-19.

Institut Penyelidikan Ekonomi Malaysia (MIER) menganggarkan bahawa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan menjejaskan 2.4 juta pekerjaan atau 15.7% daripada jumlah pekerjaan.

Manakala Bank Negara Malaysia (BNM) meramalkan kenaikan kadar pengangguran kepada 4.0% tahun ini, berbanding 3.3% pada tahun 2019.

“Kajian Khas Kesan Covid-19 Terhadap Individu dan Ekonomi” diterbitkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) pada 9 April 2020 ini walaupun mungkin tidak mewakili pandangan segenap lapisan masyarakat, mendapati hampir separuh daripada 168,182 responden mengakui kehilangan pekerjaan kesan daripada wabak berkenaan.

Dalam situasi ekonomi yang mencabar dengan jangkaan lebih banyak syarikat akan gulung tikar, SIP akan memberi manfaat kepada pekerja-pekerja yang kehilangan pekerjaan di negara ini.

 

Faedah SIP antaranya merangkumi penggantian sebahagian pendapatan yang hilang melalui Elaun Mencari Pekerjaan (EMP) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA), serta perkhidmatan padanan pekerjaan dan latihan kemahiran bagi membantu mereka yang terkesan mendapat pekerjaan baru dengan lebih cepat.

Pada 2019, sejumlah 40,084 kes kehilangan pekerjaan dilaporkan di bawah SIP dan 35,140 daripadanya layak mendapat elaun tunai sehingga 6 bulan, dan ini telah melibatkan pengagihan bantuan berjumlah RM107.6 juta (2018: RM17.18 juta; 23,525 kes, 18,083 layak). Majoriti pekerja terkesan ini adalah daripada sektor pembuatan dan perkhidmatan, dan lebih separuh kes adalah melibatkan pekerja berkemahiran tinggi (profesional, pengurus dan juruteknik).

Belanja untuk faedah SIP dijangka akan berganda pada tahun 2020 apabila pemberhentian pekerja dilihat akan lebih tinggi akibat kelembapan ekonomi yang dibawa oleh wabak Covid-19.

Pada tahun 2018, rizab terkumpul SIP berjumlah RM658.2 juta, manakala hasil daripada caruman pula berjumlah RM560.8 juta. Jumlah ini bukanlah besar. Sekiranya kadar pembuangan kerja meningkat secara tidak terkawal dan tiada langkah pro-aktif segera diambil, ini pastinya akan memberi tekanan kepada kelestarian dana SIP.

Menangani ketidakseimbangan pasaran buruh

Semasa tempoh PKP, kerajaan telah memperkenalkan dua inisiatif tambahan selain SIP iaitu Program Pengekalan Pekerjaan (ERP) dan Program Subsidi Upah (WSP) bagi meredakan tekanan kewangan yang dihadapi majikan dan pekerja.

Matlamat utama program-program ini adalah bagi melindungi pekerja apabila majikan yang mengalami masalah aliran tunai terpaksa mengambil langkah-langkah pengurangan kos tenaga kerja buat sementara waktu.

Namun, ramai meramalkan kesan pandemic Covid-19 akan lebih berpanjangan dan tidak akan terhad semasa tempoh PKP sahaja akibat gangguan teruk dalam rantaian ekonomi. Lanskap ekonomi global dan domestik juga diramal akan berubah dengan lebih radikal dalam jangka masa panjang.

Dalam proses tersebut, pasaran buruh akan terus terkesan dengan lebihan pekerja di sesetengah sektor akibat aktiviti ekonomi yang terjejas. Lebihan buruh disini tidak terhad kepada pekerja yang diberhentikan dan menganggur, tetapi juga melibatkan mereka yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji, dikurangkan jam bekerja dan dipotong gaji, serta golongan bekerja sendiri yang tiba-tiba hilang mata pencarian.

Di sebalik itu, azab daripada Covid-19 pula memberi durian runtuh kepada sesetengah perniagaan seperti makanan, e-dagang, khidmat logistik dan penghantaran, khidmat pembersihan dan pembasmian kuman, teknologi digital, internet dan komunikasi. Permintaan tenaga kerja daripada sektor-sektor ini pula meningkat berikutan pertambahan urusniaga perniagaan.

Apa yang penting difikirkan sekarang adalah strategi tuntas bagi mengatasi ketidakseimbangan tenaga kerja antara sektor-sektor ekonomi negara.

Pertama, lebihan tenaga kerja perlu disalurkan ke sektor yang mengalami kenaikan permintaan pekerja secara mendadak. Dengan maklumat lebihan penawaran tenaga kerja yang terkumpul di pengkalan data Perkeso melalui pelaksanaan skim SIP, ERP dan WSP, pengumpulan maklumat permintaan tenaga kerja perlu diselaraskan agar dapat dipadankan dengan penawaran tenaga kerja.

Dasar pasaran buruh aktif (active labour market policy) perlu dilancarkan bagi mengatasi ketidaksepadanan kemahiran pekerja di sektor asal ke sektor baru.

Latihan peningkatan kemahiran (upskilling), latihan semula (reskilling) dan kemahiran silang (cross-skilling) yang ditawarkan oleh pelbagai agensi seperti HRDF, Perkeso, SMECorp, MARA dan Protégé boleh digerakkan bagi memenuhi keperluan ini.

Sekiranya peralihan pekerja ini ke sektor baru bersifat sementara, jalan tengah boleh difikirkan agar terma kontrak pekerjaan disertakan dengan “recall clause” supaya majikan asal dapat mendapatkan semula tenaga kerja mereka apabila perniagaan semakin pulih. Pokoknya, kerjasama dan koordinasi antara agensi-agensi yang menawarkan perkhidmatan kepada pekerja dan majikan di Malaysia perlu disegerakan dengan pelan tindakan yang praktikal.

Mewujudkan peluang pekerjaan dalam sektor strategik

Kedua, krisis Covid-19 telah mendedahkan beberapa kelopongan dalam beberapa sektor penting di Malaysia, yang perlu dimantapkan. Antaranya termasuk menjamin sektor kesihatan dan perubatan mempunyai kapasiti yang mencukupi dalam menghadapi wabak penyakit berskala besar pada masa hadapan; dan memperkemaskan rantaian bekalan bagi sektor pertanian dan makanan.

Sektor pendidikan pula perlu lebih bersedia dalam menjalankan pengajaran dan pembelajaran melalui internet tanpa melibatkan pertemuan dalam kelas biasa. Di samping mengukuhkan kualiti jalur lebar, masih banyak yang perlu dilakukan dalam membangunkan kandungan pelajaran dalam bentuk digital (digital contents), melatih para guru dan pensyarah dengan teknologi digital, disamping merapatkan jurang digital antara miskin-kaya dan bandar-desa agar tiada anak-anak yang tercicir.

Dalam jangka masa pendek dan sederhana, perhatian utama perlu diberikan dalam memastikan kesedian sektor-sektor tersebut agar mampu menghadapi krisis serupa di masa hadapan yang dijangka akan timbul dengan lebih kerap. Lebihan tenaga kerja yang timbul boleh disalurkan ke sektor-sektor penting ini.

Ketiga, seperti krisis lain, kejutan yang dibawa Covid-19 memberi kesan negatif kepada beberapa sektor tanpa belas kasihan. Sektor pelancongan, perhotelan, penerbangan, perhotelan, MICE (meetings, incentives, conferences and exhibitions) dan temasya sukan contohnya hampir lumpuh dek wabak tersebut.

Dalam situasi ini, pelaburan awam menjadi penting dalam memacu pertumbuhan melalui sumber ekonomi baharu bagi mewujudkan peluang pekerjaan yang berkualiti. Inilah masa yang paling sesuai untuk membangunkan sektor strategik seperti teknologi hijau dan tenaga boleh diperbaharui, memperluaskan ekosistem digital ekonomi dan sektor penjagaan.

Usaha mempelbagaikan sumber ekonomi akan menyeimbangi risiko ketidakstabilan kerana terlalu bergantung kepada beberapa sektor sahaja. Tenaga kerja yang baru memasuki pasaran buruh dan lebihan tenaga kerja sedia ada akan dapat diserap ke dalam aktiviti-aktiviti ekonomi baru ini.

Kesimpulan

Masyarakat Malaysia mempunyai daya tahan yang tinggi dalam menangani krisis Covid-19 ini seperti yang pernah kita harungi semasa krisis-krisis besar terdahulu.

Walaupun dikatakan krisis ini berbeza dari segi sifat, skala dan durasi; pandangan jauh pemimpin dan penggubal dasar yang didokong melalui konsultasi dengan penjawat awam, pemikir negara, pemain industri, pekerja dan masyarakat awam akan memberi peluang yang lebih cerah dalam memenangi perang Covid-19 ini.

Cabaran dan peluang yang datang bersama krisis ini harus digunakan untuk memantapkan semua lapisan masyarakat agar kita tidak berhadapan dengan apa yang dikatakan sebagai “sudah terhantuk baru terngadah” di masa hadapan. Melindungi pekerja dan mewujudkan peluang pekerjaan baru perlu ditekankan kerana ini adalah tunjang kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara. – 16 April, 2020.

*Hawati Abdul Hamid adalah penyelidik di Institut Penyelidikan Khazanah (KRI), pandangan ini tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi KRI.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.

 

 

CONTACT US

SME Corporation Malaysia
Level 6, SME 1, Block B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Info Line: 03-9213 0077
Fax Line: 03-2775 6001
Email: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

Feedback Form

 

AGENCY LINKS

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

ABOUT
POLICIES

SME in Malaysia

SME Perfomance & Outlook

National Entrepreneurship Policy 2030 (DKN2030)

SME Policies

PROGRAMMES
INITIATIVES
GUIDES

Business Guides

Success Stories

Business Directory

Business Ethics

RESOURCES
CONTACT US