Languages: Others

Sektor awam pemudah cara inisiatif PRIHATIN, PENJANA

Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.
Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali.


Penularan COVID-19 turut menghadirkan cabaran berat terhadap sektor perkhidmatan awam negara, cabaran baharu yang menuntut komitmen luar biasa warganya dalam memastikan kelangsungan hidup rakyat serta ekonomi negara terpelihara.

Bagi tujuan itu, kerajaan antara lain melancarkan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang mengandungi tiga teras utama, iaitu Memperkasakan Rakyat, Melonjakkan Perniagaan dan Merangsang Ekonomi.

Memikul tanggungjawab besar adalah Ketua Setiausaha Negara, Datuk Seri Mohd Zuki Ali yang perlu memastikan keputusan dan dasar kerajaan difahami serta dapat diterima. Wartawan BH, Mohd Iskandar Ibrahim berkongsi pandangan penyandang jawatan tertinggi perkhidmatan awam itu.


Soalan (S): Apa pandangan Datuk Seri terhadap PENJANA, matlamatnya dan peranan sektor awam dalam menjayakan inisiatif berkenaan?

Jawapan (J): PENJANA adalah usaha kerajaan bagi merancakkan semula ekonomi Malaysia selepas pandemik COVID-19 berlaku dalam negara. Usaha ini adalah berfokus dan semestinya memerlukan agensi sektor awam yang selama ini menjadi pihak yang memberi kemudahan kepada golongan peniaga. Melalui inisiatif yang baharu, fokus ekonomi digital diperkenalkan, maka komuniti perniagaan dapat dibantu dengan lebih berkesan.

 

S: Boleh Datuk Seri terangkan lebih lanjut mengenai inisiatif terbabit dan bagaimana pelaksanaannya mampu meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan awam?

J: Antara teras dalam PENJANA adalah melonjakkan perniagaan. Di bawah PENJANA, langkah untuk mengekalkan pekerjaan dan perniagaan akan diberi penekanan. COVID-19 turut menjejaskan operasi perniagaan, termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS). Pembukaan semula ekonomi pada Mei lalu memerlukan PKS menyesuaikan diri dengan normal baharu.

Selaku peneraju dalam pemodenan penyampaian perkhidmatan awam, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) akan sentiasa melaksanakan pelbagai inisiatif supaya rakyat sentiasa mendapat akses lebih baik kepada setiap perkhidmatan yang disediakan oleh kerajaan.

Tumpuan akan diberikan kepada aspek pendigitalan perkhidmatan. Sokongan perniagaan melalui pendigitalan menjadi semakin penting supaya peniaga dapat terus kekal berdaya saing.

 

S: Apa antara aspek pendigitalan perkhidmatan yang diusahakan?

J: MAMPU dan SME Corp Malaysia, iaitu sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) mengambil inisiatif membangunkan Portal Pendaftaran dan Pelesenan Perniagaan Setempat atau aplikasi MalaysiaBiz.

Melalui sistem ini, urusan mendaftar perniagaan dan memohon lesen akan menjadi lebih cepat dan mudah kerana kedua-dua urusan kini boleh dilakukan melalui satu gerbang perkhidmatan sahaja secara end-to-end yang menyepadukan pelbagai portal, aplikasi badan pendaftar dan agensi pelesenan.

 

S: Sejauh mana pelaksanaan inisiatif MalaysiaBiz setakat ini?

J: Portal MalaysiaBiz menyediakan perkhidmatan bermula 24 April lalu. Ia boleh dimanfaatkan oleh 907,065 PKS yang menyumbang 98.5 peratus daripada jumlah pertubuhan perniagaan di Malaysia dan seterusnya membantu menjana pertumbuhan aktiviti perniagaan dan ekonomi. Portal ini juga boleh digunakan bagi tujuan pendaftaran koperasi dan firma profesional seperti arkitek, jurutera, juruukur bahan dan juruukur tanah.

 

S: Menerusi PENJANA, antara perkara utama adalah pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam. Apa dasar pelaksanaan inisiatif ini?

J: Inisiatif pendigitalan penyampaian kerajaan dilaksana berdasarkan Pelan Strategik Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Agensi, yang diselaraskan dengan Pelan Strategik ICT Sektor Awam.

 

S: Dalam inisiatif pendigitalan juga, Perdana Menteri mengumuman mengenai Hackathon, iaitu langkah untuk mengumpul idea penyelesaian pendigitalan masa depan?

J: MAMPU menganjurkan program Hackathon Data Terbuka dan Hackathon Aplikasi Mudah Alih bagi merancakkan penghasilan produk dan inovasi menerusi pemanfaatan teknologi digital serta pelbagai data kerajaan (data terbuka dan data kementerian/agensi).

Penganjuran Hackathon MAMPU dilaksanakan dalam skala yang kecil dan tujuannya diadakan adalah untuk mewujudkan peluang berkolaborasi serta memupuk budaya penciptaan dalam kalangan pelbagai peringkat masyarakat termasuk pelajar sekolah dan universiti, penjawat awam serta industri dalam usaha meningkatkan penghasilan produk berasaskan teknologi digital yang kreatif dan inovatif.

 

S: Boleh Datuk Seri perjelaskan lagi mengenai acara Hackathon ini?

J: Di bawah PENJANA, acara Hackathon akan dianjurkan untuk mengumpul idea daripada orang ramai, ahli perniagaan dan syarikat pemula yang dapat menambah baik pengalaman pelanggan yang perlu berinteraksi dengan jabatan kerajaan pada era normal baharu.

Contoh idea yang ringkas, namun berkesan adalah integrasi Sistem Pengurusan Giliran dengan sistem temu janji di Klinik Kesihatan atau temu ramah dalam talian ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Dana permulaan akan diperuntukkan untuk membangunkan idea yang berimpak dan sistem pengurusan KPI akan diperkenalkan untuk memantau pelaksanaan inisiatif pendigitalan baharu pada peringkat kementerian, jabatan dan agensi kerajaan.

 

S: Adakah kerajaan akan memperkenalkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) baharu dalam sektor perkhidmatan awam selaras normal baharu, termasuk dengan pelaksanaan inisiatif pendigitalan?

J: Kerajaan menyasarkan untuk mencapai 40 peratus perkhidmatan dalam talian secara end-to-end. Kerajaan berpeluang untuk menyemak semula semua KPI sedia ada sebagai usaha menyesuai dan mendayakan semua agensi sektor awam bagi mencapai hasrat mempercepat dan mempermudah perkhidmatan kepada rakyat mengikut normal baharu.

Ketika tempoh PKP, kebanyakan perniagaan tidak dapat meneruskan aktiviti mereka akibat penutupan pejabat kerajaan. Contohnya, pinjaman bank tidak dapat dimuktamadkan kerana Pejabat Setem Hasil tidak dibuka.

Justeru, inisiatif di bawah PENJANA bertujuan menggalakkan pembentukan lebih banyak kemudahan supaya orang ramai dan ahli perniagaan dapat berurusan dengan kerajaan secara dalam talian.

Ke arah meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan awam, kerajaan komited ke arah usaha yang lebih gigih untuk pendigitalan perkhidmatan dan proses kerja.

 

S: Pendigitalan penyampaian perkhidmatan awam juga akan mengurangkan proses transaksi secara fizikal. Apa yang boleh rakyat harapkan daripada langkah ini?

J: Pendigitalan dapat mempercepatkan perkhidmatan diberikan kepada rakyat dan mengurangkan keperluan mereka untuk berkunjung ke kaunter di agensi kerajaan selain menyediakan persekitaran perkhidmatan yang boleh dilaksanakan secara bekerja dari luar atau bekerja dari rumah.

Sehubungan itu, pengurangan atau penutupan kaunter di agensi kerajaan dapat dilakukan kerana rakyat boleh mendapatkan perkhidmatan melalui dalam talian.

Penjawat awam yang terbabit dengan pengurangan atau penutupan kaunter dapat diberi kemahiran baharu dan dipertingkatkan kemahiran mereka mengikut keperluan.

Di samping itu, pendigitalan juga boleh mengenal pasti perkhidmatan yang boleh dinaik taraf kepada perkhidmatan dalam talian secara end-to-end melalui penambahbaikan proses, proses peningkatan kemahiran, sumber manusia, kajian peraturan serta dasar dan seterusnya menggunakan teknologi digital.

Proses kerja dapat dilaksanakan oleh penjawat awam dalam talian di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja, dengan sesetengah proses berkenaan boleh dilaksanakan secara automasi oleh sistem penyampaian perkhidmatan, sekali gus dapat memberi perkhidmatan yang cekap dan cepat kepada rakyat.

 

S: Kerajaan menyasarkan untuk mencapai sasaran 40 peratus perkhidmatan dalam talian pada peringkat Persekutuan, negeri dan pihak berkuasa tempatan (PBT) hujung tahun ini. Adakah sasaran ini boleh dicapai?

J: MAMPU sebagai agensi peneraju agenda pendigitalan sektor awam memantau pelaksanaan pendigitalan perkhidmatan kerajaan. Pasukan petugas sudah ditubuhkan di mana MAMPU bekerjasama rapat dengan pegawai di kementerian dalam memantau inisiatif pendigitalan.

 

S: Bagaimana pula pemantauan pelaksanaan inisiatif PENJANA?

J: Kementerian Kewangan sudah menubuhkan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) bagi memantau pelaksanaan inisiatif rangsangan ekonomi yang diumumkan kerajaan melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) dan PENJANA.

 

S: Perdana Menteri mahu kerenah birokrasi diminimumkan dalam perkhidmatan awam bagi membantu pelan pemulihan pasca COVID-19. Bagaimana usaha ini dilaksanakan?

J: Malaysia mengguna pakai strategi 6R iaitu Ketegasan (Resolve), Ketahanan (Resilience), Memulakan semula (Restart), Pemulihan (Recovery), Memperkasa (Revitalise) dan Menyusun Semula (Reform) bagi menangani krisis pandemik ini.

PENJANA mewakili R yang keempat iaitu Pemulihan, yang akan disusuli dengan Belanjawan 2021 sebagai R kelima atau Pemerkasaan dan Rancangan Malaysia Ke-12 sebagai peringkat keenam atau Penyusunan Semula.

Fokus utama Kerajaan bagi setiap strategi adalah untuk menjana pertumbuhan ekonomi dengan memudah cara syarikat untuk memulakan perniagaan dan berkembang.

 

S: Bagaimana mahu memastikan pakej PRIHATIN dan PENJANA dapat dirasai rakyat dan sektor perniagaan?

J: Bagi memastikan pakej rangsangan PRIHATIN dan PENJANA dapat dirasai rakyat dan perniagaan, inisiatif dirancang di bawah pakej terbabit dirangka untuk memudahkan akses kemudahan.

Moratorium pinjaman diberikan secara automatik untuk semua tanpa memerlukan individu atau syarikat memohon untuk menikmati moratorium berkenaan.

Pemberian bantuan seperti Bantuan Prihatin Nasional (BPN) juga tidak memerlukan permohonan semula bagi mereka yang mengemukakan maklumat sebelum ini dan pemohon baharu dapat membuat permohonan secara dalam talian dengan syarat minimum untuk dokumentasi.

Bagi memacu pelaksanaan projek skala kecil, kerajaan memudah cara proses perolehan, termasuk meningkatkan nilai ambang untuk perolehan dengan sebut harga dan proses cabut undi.

Seiring dengan normal baharu ini, saya telah memulakan proses cabut undi secara langsung melalui laman Facebook pada 30 April lalu, berbanding kebiasaan iaitu mengadakan proses fizikal di dewan.

Kerajaan akan terus memastikan peningkatan penyampaian perkhidmatan awam dan Ease of Doing Business. Ini akan dilakukan melalui agenda pendigitalan di bawah PENJANA dan melalui penyelarasan bagi memudahkan proses.

Saya sendiri mempengerusikan mesyuarat yang dihadiri oleh ketua setiausaha kementerian yang berkaitan untuk memantau kemajuan pelaksanaan projek pakej rangsangan dan untuk memantau serta mengambil tindakan yang bersesuaian dengan segera.

 

 

CONTACT US

SME Corporation Malaysia
Level 6, SME 1, Block B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Info Line: 03-9213 0077
Fax Line: 03-2775 6001
Email: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

Feedback Form

 

AGENCY LINKS

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

ABOUT
POLICIES

SME in Malaysia

SME Perfomance & Outlook

National Entrepreneurship Policy 2030 (DKN2030)

SME Policies

PROGRAMMES
INITIATIVES
GUIDES

Business Guides

Success Stories

Business Directory

Business Ethics

RESOURCES
CONTACT US