KUALA LUMPUR - Bilangan usahawan serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa gulung tikar akibat cabaran ekonomi sepanjang pandemic Covid-19 masih berada pada tahap terkawal. Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, usahawan dan peniaga harus segera tampil ke hadapan sekiranya berdepan dengan masalah kewangan sebelum bertambah parah. "Daripada data kami, usahawan 'lingkup' atau tutup kedai adalah tidak banyak, sebab ada banyak inisiatif berbentuk pembiayaan, latihan, bimbingan, khidmat nasihat dan pakej ransangan yang boleh dimanfaatkan di bawah kementerian. "Sekiranya ada yang menghadapi masalah kewangan dan tidak dapat membayar pembiayaan, ia boleh dibuat penjadualan semula pinjaman," katanya.Beliau berkata demikian pada Majlis Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2020 di sini semalam.
Mengulas mengenai permintaan industri agar pelaksanaan moratorium dilanjutkan, terutamanya melibatkan pembiayaan seperti Tekun Nasional dan SME Corp, Ermieyati menjelaskan perkara tersebut akan diumumkan kemudian.