Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar. - Foto: BERNAMA
KUALA LUMPUR: Lebih banyak peluang perniagaan dan pelaburan perlu dibuka bagi memastikan Malaysia dapat mengekalkan kedudukannya sebagai ekonomi paling kompetitif di ASEAN selepas Singapura.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata langkah itu dapat dilaksanakan menerusi peningkatan jumlah perkongsian antara kerajaan, usahawan dan koperasi, selain memastikan daya saing ekonomi diperkukuhkan menerusi pertumbuhan mampan, inovatif dan inklusif.
"Dalam fasa pembaharuan atau 'Reform' nanti, kita perlu berinovasi dan mempromosikan lebih banyak perniagaan tempatan untuk menawarkan penyelesaian bagi memperkasakan perniagaan termasuk usahawan mikro dengan mengaplikasikan penggunaan teknologi.
"Pada dasarnya, kerajaan harus memastikan bahawa usahawan diberi peluang yang diperlukan untuk berkembang kerana kejayaan yang diraih mereka dapat mengubah ekonomi dan meningkatkan pembangunan industri," katanya ketika berucap merasmikan Persidangan Ekonomi dan Keusahawanan Asia 2020 di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Presiden Institut Strategik KSI untuk Asia Pasifik (KSI), Tan Sri Michael Yeoh; Ketua Eksekutif KSI, Michael Walsh; Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Seri Mohammad Mentek; serta Ketua Pengarang dan Penerbit China Daily Asia Pacific, Zhou Li.
Wan Junaidi berkata, kerjasama sektor swasta mesti dikembangkan kerana perkongsian itu akan dapat meningkatkan transformasi digital di Malaysia.
"Langkah ini dapat memanfaatkan potensi kita untuk menjadi pusat inovasi awan dan kecerdasan buatan (AI) utama di rantau ini," katanya.
Beliau berkata, daya saing ekonomi tidak hanya dinilai dari segi data pertumbuhan, sebaliknya peningkatan prestasi perkhidmatan awam kepada perniagaan bagi mewujudkan persekitaran di mana bidang keusahawanan dihargai bagi membolehkan semua lapisan menikmati mobiliti sosial.
"Bagi memastikan Malaysia meraih pertumbuhan yang inklusif, kita mesti menangani isu latihan dan pendidikan di kalangan usahawan.
"Justeru, MEDAC dengan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) melaksanakan Program Inovasi Usahawan Muda SME Bank untuk meningkatkan pembabitan belia dan siswazah dalam perniagaan," katanya.
Sementara itu, lebih 900,000 syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS) akan menggunakan platform e-dagang khusus yang bakal diperkenalkan MEDAC.
Platform yang masih di peringkat kajian oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) itu bakal memberi akses lebih besar kepada PKS dalam menawarkan produk keluaran.
"Kita memiliki lebih 900,000 PKS di Malaysia yang menjadi tulang belakang ekonomi negara. Dengan adanya platform e-dagang khusus untuk PKS, ia akan membuka peluang kepada perniagaan mengembangkan pasaran," kata Wan Junaidi.
Beliau berkata, MEDAC buat masa ini akan mengkaji dari segi kos platform e-dagang berkenaan selepas melakukan penilaian terhadap pasaran dalam talian.
Katanya, platform e-dagang khusus untuk PKS yang akan diwujudkan itu bukannya untuk menandingi platform sedia ada seperti Lazada dan Shoppe, sebaliknya untuk meningkatkan akses rakyat Malaysia membeli-belah, selain membuka ruang PKS menawarkan produk keluaran.
"Kebanyakan PKS menghadapi masalah dalam menjual produk. Kita berharap dengan adanya platform e-dagang khusus ini, ia membolehkan usahawan tempatan meneroka potensi pasaran lebih luas dalam pasaran domestik.
"Malaysia memiliki pasaran yang sangat berpotensi kepada PKS untuk berkembang. Dengan permintaan pasaran tempatan terhadap produk berkualiti PKS, ia akan membuka ruang kepada pasaran lebih meluas.
"SME Corp. Malaysia akan membuat penilaian terperinci mengenai platform e-dagang khusus untuk PKS ini," katanya.