PERBADANAN Nasional Berhad (PNS) yang merupakan agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam strategi lima tahunnya menyasarkan sebanyak 5,000 kelulusan pembiayaan kepada para usahawan di mana PNS menjangkakan akan mengembangkan portfolio francaisnya sebanyak 400% dari RM178 juta kepada RM700 juta.
Usaha ini dijangka menghasilkan 18,000 peluang pekerjaan baharu dan bakal menyumbang sebanyak RM4.4 billion kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK). Bagi mencapai hasrat ini, PNS akan mewujudkan ekosistem francais yang lebih berkesan dengan rantaian nilai yang menyeluruh disokong oleh teknologi digital di samping memperkasakan pembangunan sosio-ekonomi golongan Bumiputera melalui bidang keusahawanan.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar menyatakan keusahawanan francais mampu membantu usahawan Bumiputera dalam meningkatkan tahap sosio-ekonomi mereka khususnya melalui Program ‘Business-In-Transformation (BIT)’ yang menggalakkan para usahawan mengembangkan perniagaan mereka melalui francais. Sejak tahun 2005, PNS telah mengeluarkan jumlah pembiayaan sebanyak RM463 juta kepada 2,529 usahawan.
“Kerjasama di antara MEDAC dan PNS membuktikan pihak Kementerian dan agensi komited mewujudkan rangkaian kerjasama bagi melahirkan lebih ramai usahawan yang mengadaptasi konsep perniagaan seperti ini,”
“Langkah ini dilihat mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi, khususnya dalam kalangan entiti Bumiputera untuk meneroka bidang keusahawanan francais,” dalam kenyataannya hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif PNS, Mohd Hilaluddin Abd Shukor menyatakan industri francais tempatan mempunyai potensi yang besar untuk diterokai dan para usahawan khususnya usahawan mikro perlu berani mengambil langkah proaktif untuk menceburi industri francais terutamanya dalam mengadaptasi digitalisasi.
Selain itu, beliau turut menyatakan Program BIT memfokuskan pembangunan perniagaan mikro bagi membantu mereka mengembangkan perniagaan melalui francais.
“Program BIT dapat membantu usahawan mikro berpotensi untuk meningkatkan sumber pendapatan mereka dan menyumbang kepada pertumbuhan industri francais khususnya ketika pasca Covid-19,” KATANYA.
“Untuk tahun ini, PNS bakal melancarkan dua inisiatif baharu iaitu ‘Projek Xcelerator’ dan ‘Projek Be Your Own Boss (BYOB)’ yang menyasarkan lima (5) usahawan francais tempatan dan 1,000 francaisi. PNS memperuntukan sebanyak RM35 juta untuk projek-projek ini bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan yang berdaya saing dengan memperkukuhkan lagi penyertaan dari usahawan Bumiputera, belia, wanita dan siswazah dengan menawarkan panduan dan latihan komprehensif, pembiayaan serta akses kepada pasaran semasa,” kata beliau.
“Di bawah projek BYOB, PNS menawarkan dua (2) program iaitu program “Successful Women Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET)” untuk wanita dan program “Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY)” untuk belia yang menawarkan latihan dan pembiayaan bagi membantu usahawan-usahawan berpotensi dari golongan ini menceburkan diri di dalam bidang keusahawanan,” tambah beliau.
Malah, PNS bakal berkolaborasi dengan beberapa kementerian yang berpotensi untuk membantu meluaskan capaian penyertaan program ini seperti Kementerian Belia dan Sukan (KBM) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) melalui program kerjasama strategik kementerian dan agensi-agensi MEDAC bagi memastikan inisiatif projek ini berjaya mencapai golongan sasaran.
Menurut Mohd Hilaluddin lagi, PNS berharap kerjasama yang dilaksanakan ini merupakan satu langkah strategik untuk mengenalpasti dan memperkasakan golongan wanita dan belia menjadi pemilik perniagaan yang berjaya.
“Melalui Program BIT, PNS telah membangunkan sebanyak 127 perniagaan pra-francais di mana para usahawan dilatih untuk mengembangkan perniagaan mereka menjadi jenama francais tempatan yang berjaya. Justeru, kami berharap melalui Projek Xcelerator dapat membantu memacu perniagaan mereka menjadi peniagaan francais dalam tempoh kurang dari satu (1) tahun,” tambah beliau.
Dalam masa yang sama, PNS telah membantu dan menyokong pelbagai jenama francais tempatan seperti Genius Aulad, Marrybrown, Menara Optometry, Asam Pedas Premier, Tealive, Smart Reader, MD Putu Bambu World melibatkan 157 cawangan dengan jumlah pembiayaan sebanyak RM30.5 juta. – SM