KUALA LUMPUR - Usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan mikro disaran mempersiapkan diri melalui penggunaan teknologi digital bagi menghadapi senario perniagaan yang berbeza, khususnya selepas tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Seri Wan Junaidi Jaafar berkata, ini kerana tidak mudah untuk menganggap bahawa keadaan akan kembali seperti biasa selepas pandemik Covid-19 berakhir.
Beliau berkata pandemik Covid-19 secara tidak langsung telah melonjakkan penggunaan teknologi dalam kehidupan seharian dan pendigitalan merupakan elemen penting bukan sahaja untuk memulihkan perniagaan, tetapi juga apabila memulakan sesuatu perniagaan.
“Covid-19 telah mengubah gaya hidup kita semua, dan dengan pergerakan dan pertemuan yang terhad, penggunaan aplikasi digital semakin meluas.
“Ini sekali gus mendorong dan menjadi pemangkin untuk meningkatkan keupayaan penggunaan teknologi maklumat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 2020, MEDAC menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) memainkan peranan dalam memudahcara 7,851 perusahaan mikro, termasuk usahawan Bumiputera untuk mengadaptasi teknologi digital (e-dagang) dalam operasi perniagaan masing-masing menerusi Program Micro Connector.
Program tersebut merupakan salah satu inisiatif berterusan oleh SME Corp bagi membangunkan perusahaan mikro dan komuniti isi rumah yang memperoleh pendapatan 40 peratus terendah (B40).
Ia bertujuan untuk memberikan bantuan peringkat awal kepada perusahaan mikro dalam menubuh dan menjalankan perniagaan serta melatih komuniti B40 untuk mendapatkan kemahiran baharu bagi menjana pendapatan melalui keusahawanan. - Bernama