Mas Ermieyati Samsudin berkata, keputusan membuat total 'lockdown' bukanlah satu keputusan semberono dari kerajaan. - Gambar fail/BERNAMA
Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, walaupun keadaannya pahit untuk ditelan, keputusan membuat total 'lockdown' bukanlah satu keputusan semberono dari kerajaan.
"Pemberian Geran Khas Prihatin (GKP) yang ditambah sebanyak RM500 ringgit kepada 1,500 ringgit yang melibatkan hampir 1 juta PKS dan perusahaan mikro serta pembiayaan mikro kredit sebagai modal kerja, sebanyak RM1.5 bilion ringgit disediakan oleh BSN, TEKUN, MARA, SME Corp. dan YAPEIM dengan kadar pembiayaan serendah 3 peratus.
"Institusi perbankan juga akan terus menawarkan kemudahan pembiayaan dan pinjaman dengan penambahan fasiliti kemudahan bantuan dan pemulihan bersasar untuk PKS," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Selain itu jelas Mas Ermieyati, potongan khas turut diberi kepada pemilik bangunan dan ruang perniagaan yang menawarkan pengurangan sewa premis perniagaan kepada PKS dan bukan PKS untuk tempoh enam bulan lagi sehingga 31 Disember 2021 bagi pengurangan sewa sekurang-kurangnya 30 peratus daripada kadar sewa semasa.
"Dengan pengumuman tambahan ini, diharapkan dapat membantu para usahawan PKS untuk menghadapi kesukaran yang dihadapi," ujarnya.
Pemerkasa PLUS berjumlah RM40 bilion dengan suntikan langsung fiskal kerajaan sebanyak RM5 bilion yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin itu jelas bakal meredakan cabaran golongan rentan.
Selain itu katanya, keputusan jemaah menteri untuk tidak mengambil gaji selama tiga bulan bermula Jun untuk di sumbangkan ke Akaun Amanah Bencana Negara adalah solidariti kerajaan dan kepimpinan Perikatan Nasional bersama-sama rakyat dalam perang melawan COVID-19.
Jelas Mas Ermieyati, ia langkah prihatin kerajaan dalam membantu mereka yang terkesan akibat penularan virus ini.
Tambahnya, peruntukan RM1 bilion yang telah diumumkan untuk meningkatkan kapasiti dan memperkukuhkan kesihatan awam juga diharap dapat membantu petugas barisan hadapan negara daripada ‘burnout’ dan keletihan.
"Lawatan saya ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) Masjid Tanah baru-baru ini memperlihatkan kesungguhan dan kegigihan ‘frontliners’ bagi membantu rakyat memerangi COVID-19. Terima kasih kami ucapkan.
"Kita kekalkan untuk duduk di rumah dan patuh kepada SOP yang telah ditetapkan. Sayangi diri, sayangi keluarga dan orang tersayang. Semoga kita boleh kembali kepada sifar kes suatu ketika dulu. Kita pasti menang!" jelasnya.