This email address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan kekal responsif dan komited untuk memberi penekanan khusus kepada keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menawarkan pelbagai pakej rangsangan untuk membantu meringankan beban mereka semasa pandemik ini.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, berkata sejak Mac 2020, sejumlah RM196 bilion telah diperuntukkan sebagai pakej bantuan PKS mengharungi kesan pandemik.
Katanya, langkah itu, telah dan sedang dilaksanakan melalui sepuluh pakej ekonomi komprehensif termasuk Bajet 2021 dan Bajet 2022.
"Dalam tempoh masa lima tahun akan datang, tumpuan akan diberikan kepada merancakkan pembangunan industri strategik dan berimpak tinggi.
"Usaha akan disasarkan kepada menggalakkan adaptasi teknologi tinggi, peningkatan kemahiran, inovasi serta penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk mentransfomasi industri ini kepada penghasilan produk dan perkhidmatan bernilai tinggi, meluaskan pasaran global dan menarik pelaburan yang berkualiti," katanya pada majlis Pra Pelancaran Enterprise 50 (E50) dan Pengiktirafan Alumni E50 di sini, hari ini.
Yang turut hadir Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy. Anugerah E50 adalah anjuran SME Corp Malaysia, sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC).
Sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 1997, anugerah ini telah menjadi penanda aras kepada pencapaian kejayaan perniagaan PKS yang diiktiraf dan dinilai berdasarkan kebolehan, kecemerlangan dan ketelusan dalam proses pemilihan yang dinilai oleh pakar dan pemain industri berkecuali.
Sementara itu Syed Hussien Al Habshee turut menyokong pandangan Noh dan menegaskan keperluan untuk memulihkan industri, memandangkan mereka adalah satu kumpulan paling terjejas sepanjang negara menghadapi pandemik COVID-19.
Katanya, dengan 95.3 peratus penurunan mendadak dalam jualan PKS pada tempoh awal membendung COVID-19, cabaran yang ditimbulkan ini memerlukan keazaman yang kuat bagi mempastikan PKS terus bertahan.
"Mengenai anugerah ini, penganjurannya adalah untuk melengkapi usaha-usaha dalam pasaran komuniti perniagaan antarabangsa bagi membantu mengenal pasti rakan dagang yang berpotensi kepada pemenang.
"Selain itu, penerima anugerah ini juga berpotensi melihat perniagaan mereka dipacu ke tahap baru yang lebih tinggi dengan menjadi sebahagian daripada ahli "Kelab E50" yang eksklusif.
"Ini memberi mereka peluang meraih lebih banyak faedah seperti penyertaan di bengkel dan forum antrabangsa atas jemputan SME Corp, liputan media yang lebih luas dan interaksi dengan syarikat multi-nasional," katanya.
Pada majlis pelancaran itu, 10 PKS dari alumni E50 turut menerima penghargaan dalam pelbagai kategori antarnya ialah Ideal Healthcare Sdn Bhd, Hexa Food Sdn Bhd, Alypz Sdn Bhd, Sonicon Construction Sdn Bhd, Siti Khadijah Apparel Sdn Bhd, Dewina Food Industries Sdn Bhd, Sydney Cake House Sdn Bhd, IForte Intelligence Sdn Bhd, Respect Manufacturing Sdn Bhd dan Benithem Sdn Bhd.
Tempoh pencalonan Anugerah E50 untuk PKS bermula dari 1 Mac 2022 sehingga 30 Jun 2022. Ia akan berakhir dengan Majlis Makan Malam Gala Anugerah E50 2022 pada November 2022 dengan pengumuman 50 pemenang pada malam itu.
Sehingga kini sebanyak 503 syarikat telah dicalonkan untuk anugerah tahun ini. Untuk maklumat lanjut sila layari http://www.e50.com.my.
© New Straits Times Press (M) Bhd