KUALA LUMPUR – SME Corp. Malaysia bekerjasama dengan MIDF mengagihkan pinjaman di bawah Dana Kecemasan PKS 2.0 (SMEEF 2.0) bagi membantu Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) yang terkesan akibat bencana alam di seluruh negara.
Dana ini menyediakan pembiayaan pinjaman modal kerja tanpa faedah serta moratorium selama setahun kepada semua PKS.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar berkata, Program SMEEF di bawah SME Corp. Malaysia dan MIDF sebagai agensi pelaksana khusus bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana, manakala Skim Pembiayaan Informal dan Mikro (SPIM) oleh Tekun Nasional untuk membantu usahawan informal dan mikro.
Untuk SPIM, usahawan informal dan mikro boleh memohon geran bernilai RM3,000.00 bagi setiap usahawan yang tidak perlu dibayar balik.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, sehingga 12 Julai 2022, program SMEEF 2.0 ini telah menerima sebanyak 1,131 permohonan dari seluruh negara berjumlah RM109,324,699.00 yang telahpun melebihi peruntukan dana sebanyak RM100 juta.
Tambah Rizal, dana kecemasan untuk mangsa banjir syarikat bersaiz kecil dan sederhana diberi pinjaman tanpa faedah (0%) antara RM50,000.00 sehingga RM100,000.00 berserta moratorium selama 12 bulan, dapat digunakan untuk membantu PKS bangkit semula serta memulihkan kembali perniagaan Keluarga Usahawan yang terkesan oleh bencana banjir ini secepat mungkin.
Sehingga kini hampir RM97 juta telah diluluskan dan disalurkan kepada PKS yang terjejas banjir di seluruh negara.
Daripada jumlah ini 83% adalah merupakan PKS yang terjejas di negeri Selangor, diikuti dengan Pahang sebanyak 7.6% dan Kelantan sebanyak 3.5%.
Pengarah Urusan Kumpulan MIDF, Datuk Charon Wardini Mokhzani berkata, komuniti perniagaan PKS, khususnya perniagaan keciltelah terjejas teruk akibat pandemik CovidD-19 dan malangnya ada juga yang terjejas teruk akibat banjir yang telah menyebabkan keadaan lebih sukar.
Justeru Skim SMEEF 2.0 ini untuk membantu perniagaan PKS yang terkesan ini dan dengan kerjasama SME Corp. Malaysia dapat memendekkan proses permohonan dan mempercepatkan pengeluaran dana.
”Selain itu, MIDF juga menawarkan Dana Pengukuhan PKS (SMERF) untuk PKS yang telah terjejas teruk oleh perintah kawalan pergerakan Covid-19,” tambah beliau. – MalaysiaGazette