MELAKA, 3 Okt (Bernama) -- SME Corporation Malaysia (SME Corp) akan bekerjasama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDl) untuk membantu usahawan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menembusi pasaran Arab Saudi.
Pengerusi SME Corp Malaysia Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata kerjasama itu akan melibatkan 23 negara lain yang bernaung di bawah DMDI, terdiri daripada usahawan makanan dan minuman.
“Bayangkan pada musim Ramadan, sebanyak dua juta orang berada di Mekah dan satu juta di Madinah setiap hari manakala pada musim haji pula, sebanyak tiga juta orang di Mekah dan dua juta orang di Madinah setiap hari.
“Kita mempunyai banyak produk makanan dan minuman, justeru, SME Corp akan menjadi penghubung antara usahawan DMDI dari 23 negara terlibat untuk memasarkan produk mereka di Mekah dan Madinah kerana ia adalah satu pasaran berpotensi besar,” katanya kepada pemberita di sini.
Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian Program Kerjasama Strategik Memperkasa Keusahawanan dan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) yang dirasmikan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam.
Turut hadir Pengerusi Yayasan DMDI Senator Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia Rizal Nainy.
Syed Hussein berkata jumlah usahawan dan produk yang akan dibawa masuk ke pasaran Arab Saudi akan dikenal pasti oleh DMDI dan kerjasama itu juga akan melibatkan warga Malaysia yang menetap di negara tersebut bagi membantu memperkukuh usaha berkenaan.
Sementara itu, Mohd Ridhwan berkata kerjasama tersebut akan dibincangkan pada Konvensyen DMDI yang dijangka berlangsung di Kemboja pada pertengahan tahun depan.
Beliau berkata kerjasama itu antara usaha untuk membantu usahawan menembusi pasaran antarabangsa secara lebih meluas.
“DMDI akan menyediakan platform untuk golongan usahawan khususnya belia untuk mengembangkan pasaran mereka sekali gus memperkenalkan produk mereka ke pasaran antarabangsa.
“Selain memberi fokus kepada ahli DMDI yang terdiri daripada usahawan, kita juga membantu mereka yang bukan dalam kalangan ahli DMDI terutamanya golongan B40,” katanya.
Katanya lebih banyak program keusahawan akan dilaksanakan melibatkan pelbagai agensi kerajaan yang menawarkan bantuan, geran dan peruntukan untuk golongan usahawan.
-- BERNAMA