MISI perdagangan ke Turkiye melibatkan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.
SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam kenyataan pada Isnin berkata, misi ke Istanbul dan Sakarya yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac lepas telah diketuai oleh organisasi berkenaan yang merupakan sebuah agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI).
"Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye," katanya.
Katanya, delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan serta peluang rangkaian.
"Pihak terlibat dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen’s Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA," ujarnya.
Jelas kenyataan itu lagi, kerjasama strategik antara SME Corp, MIICCI dan persatuan atau dewan perniagaan dari Turkiye berkenaan melambangkan kepentingan sinergi ekosistem perdagangan dalam meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia – Turkiye terutama dalam sektor ekonomi. -- Sinar Harian