KOTA KINABALU: Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) Zon Sabah sempena Minggu Usahawan Negara (MUN) tahun ini mencatatkan jualan lebih RM4.34 juta, kata Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
Beliau berkata, ini menjadikan jumlah keseluruhan jualan MUN dan Minggu PMKS tahun ini sebanyak RM82.86 juta.
“Jumlah ini melebihi sasaran jualan dan potensi jualan yang ditetapkan sebanyak RM70 juta di seluruh negara.
“Sambutan MUN dan Minggu PMKS telah diadakan di enam zon termasuk Sabah iaitu di Zon Utara (Pulau Pinang), Zon Selatan (Melaka), Zon Pantai Timur (Pahang), Zon Sarawak dan peringkat kebangsaan di Kuala Lumpur,”katanya.
Beliau berkata demikian ketiks berucap pada Majlis Penutupan Minggu PMKS sempena Minggu Usahawan Negara Zon Sabah, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC), di sini, hari ini.
Majlis itu dirasmikan oleh Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Haji Noor, yang diwakili oleh Timbalan Ketua Menteri I merangkap Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Jeffrey Kitingan.
Turut hadir Menteri Pembangunan Perindustrian Dan Keusahawanan Sabah, Phoong Jin Zhe, Pengerusi SME Corp. Malaysia, Tan Sri Bernard Dompok, Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan Usahawan) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Hj. Zamri Salleh, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp. Malaysia, Rizal Nainy dan Setiausaha Tetap
Kementerian Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan Sabah, Datuk Thomas Logijin.
Ewon berkata, selain bertujuan untuk memupuk budaya keusahawanan, penganjuran MUN dan Minggu PMKS juga bertindak sebagai salah satu platform mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS.
“Tahun ini buat pertama kalinya tema “Sokong Lokal, Sokong PMKS” dipilih sebagai tema MUN dan Minggu PMKS. Ini menunjukkan komitmen berterusan Kerajaan melalui KUSKOP dalam membangunkan usahawan dan koperasi tempatan di Malaysia termasuklah usahawan francais.
“Bagi menarik lebih ramai pengunjung pada tahun ini, lebih banyak aktiviti menarik telah diadakan di seluruh negara melibatkan pelbagai Kementerian, Agensi, Kerajaan Negeri, serta rakan-rakan strategik,” katanya.
Katanya lagi, selaras dengan matlamat Dasar Keusahawanan Negara (DKN2030) kerajaan serius melaksanakan pelbagai inisiatif strategik bagi mencapai matlamat itu.
“KUSKOP selaku urusetia Majlis Pembangunan Usahawan PMKS Kebangsaan (MPUPK) sentiasa komited memastikan koordinasi dan penyelarasan antara Kementerian dan Agensi-agensi berkaitan dapat digembelingkan dengan lebih berkesan agar tiada pertindihan dalam membantu membangunkan usahawan.
“Bagi memastikan kita sentiasa mengamalkan kaedah semak dan seimbang, kita harus bijak membahagikan tugas. Contohnya, terdapat agensi yang memiliki punca kuasa undang-undang (akta) yang membolehkan mereka melaksanakan penguatkuasaan.
“Manakala agensi-agensi lain pula melaksanakan program-program pembangunan usahawan. Kerjasama sebegini amat penting bagi memastikan pembangunan ekosistem keusahawanan yang kukuh di Malaysia,” katanya. -- Warta Oriental