Ripin (dua kiri) bersama Rizal (kiri) bertemu mesra dengan Syarifah (dua kanan), salah seorang alumni TUBE Sarawak yang berjaya dalam perniagaannya.
KUCHING: Usahawan belia Sarawak terutama alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Sarawak digesa terus menerokai pelbagai bidang terutama industri berpertumbuhan tinggi pada masa depan.
Sebagai contoh kata Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED) Dr Ripin Lamat, dalam bidang peranti perubatan, aeroangkasa, bioteknologi dan sebagainya.
“Saya mahu anda semua keluar daripada kepompong pemikiran perniagaan yang terhad atau lapuk dan terus belajar daripada kesilapan untuk meneroka pasaran atau sektor perniagaan lain yang mampu menembusi pasaran antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sesi Temu Mesra Bersama Alumni TUBE Sarawak 2023 di Hotel Waterfront di sini hari ini yang dilaksanakan SME Corporation Malaysia, agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.
Terdahulu Ripin berkata keusahawanan merupakan komponen penting dan strategik dalam memacu wilayah dan negara ini untuk menjadi sebuah negara yang maju dan berdaya saing.
Selain itu katanya, keusahawanan juga harus dilihat sebagai sebuah pendekatan sosial untuk negara keluar daripada perangkap pendapatan pertengahan.
Malah katanya, bidang keusahawanan juga berpotensi menyumbang kepada pembangunan sosioekonomi dan produktiviti negara yang seterusnya meningkatkan taraf dan kualiti hidup rakyat di Sarawak dan Malaysia amnya.
“Sebab itu saya melihat program-program seperti TUBE ini amat penting dilaksanakan dari semasa ke semasa.
“Saya berharap SME Corporation Malaysia dapat meneruskan dan memperhebatkan lagi program seperti ini untuk memperkasa usahawan belia terutama di Sarawak,” katanya.
Ujar Ripin lagi, belia adalah umpama lombong yang kaya dengan permata yang tidak terkira nilainya dan menjadi tanggungjawab mereka untuk terus menggilap bakat-bakat belia ini agar terus bersinar dan berjaya dalam bidang perniagaan yang diusahakan masing-masing.
Dalam pada itu hampir 100 orang alumni TUBE Sarawak dari siri tahun 2014 hingga 2023 menghadiri sesi temu mesra tersebut yang turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SME Corporation Malaysia Rizal Nainy.
Selain mendengar amanat daripada Timbalan Menteri MYSED dan CEO SME Corporation Malaysia, para peserta turut diberi taklimat mengenai kemudahan pembiayaan yang ditawarkan bagi tujuan pengembangan perniagaan.
Turut diadakan perkongsian kisah kejayaan perniagaan oleh alumni TUBE Sarawak iaitu Syarifah Nurfaizah Wan Manshor yang merupakan Ketua Pegawai Operasi Ahmad Tamar Sdn Bhd. -- Utusan Borneo