PERTANIAN pintar, aeroangkasa, dan industri halal antara sektor yang diberi keutamaan bagi aktiviti padanan perniagaan menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) antara SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Enterprise Singapore.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy berkata, bidang tersebut antara lapan sektor yang dikenal pasti ke arah pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Malaysia dan Singapura.
Menurutnya, antara lain fokus akan diberikan terhadap sektor elektrik dan elektronik, peranti perubatan, minyak dan gas, pelancongan dan biomas.
"Melalui MoU ini, kami berhasrat ianya bakal membawa kepada kerjasama lebih erat serta kemakmuran ekonomi untuk Malaysia dan Singapura, khususnya dalam pembangunan PMKS menerusi perkongsian pengetahuan, pengalaman dan amalan terbaik.
"Kedua-dua negara amat mengharapkan untuk mengambil peluang daripada potensi sektor PMKS masing-masing dan memanfaatkan kerjasama ini bagi menyokong aspek keusahawanan, inovasi dan pertumbuhan ekonomi."
"MoU yang dimeterai ini sememangnya satu peristiwa penting buat kedua-dua negara," katanya dalam kenyataan dikeluarkan SME Corp pada Khamis.
Majlis pemeteraian MoU yang berlangsung pada Isnin disaksikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong.
Pada tahun 2022, Singapura muncul sebagai rakan dagang kedua terbesar Malaysia di peringkat global dan menduduki tangga teratas dalam kalangan negara ASEAN.
Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah RM368.1 bilion, dengan lebihan perdagangan kepada Malaysia.
Eksport Malaysia ke Singapura pada 2022 mencecah RM232.56 bilion, manakala import berjumlah RM135.63 bilion.
Menurut SME Corp, lebihan perdagangan yang besar itu menunjukkan kerjasama ekonomi yang kukuh antara kedua-dua negara.
Katanya, trend positif dalam perdagangan Malaysia-Singapura berterusan bagi tempoh Januari hingga Ogos 2023, dengan nilai dagangan mencecah RM281.9 bilion.
"Prestasi ini menyerlahkan daya tahan dan dinamik hubungan perdagangan dua hala.
"Statistik ini menunjukkan komitmen yang jitu terhadap pertumbuhan dan kemakmuran bersama yang menekankan kepentingan perkongsian strategik antara kedua-dua negara," katanya. -- Sinar Harian