USAHAWAN: Ewon (tiga kanan) bersama usahawan TUBE dari Sabah yang mempamerkan produk minyak wangi.
KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) menggesa alumni Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) yang mengusahakan perniagaan dari pelbagai sektor menjadi penyumbang kepada pertumbuhan ekonomi.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, pihaknya berharap dalam jangka masa pendek atau panjang, lebih ramai alumni TUBE mampu menyediakan peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
Katanya, berdasarkan rekod Program TUBE sepanjang penganjurannya sejak 2014, alumni TUBE berjaya mewujudkan 13,866 peluang pekerjaan.
Menurutnya, jumlah berkenaan sekali gus menyumbang nilai jualan terkumpul hasil daripada perniagaan yang dijalankan berjumlah RM154.38 juta.
"Saya amat teruja dengan hasil program TUBE setakat hari ini. Sungguhpun masih terdapat perniagaan alumni yang bersaiz mikro, ia masih mampu untuk bersaing dengan perniagaan yang mempunyai tempat dan nama di pasaran tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan majlis Temu dan Mesra (Meet And Greet) Program TUBE-X Kumpulan 1 (Zon Utara, Zon Pantai Timur Dan Zon Tengah/ Selatan) dan Pelancaran Bumiputera MSMEs Financing Initiative (BMFI) @ Beep di Kuala Lumpur hari ini.
Ewon percaya, latar belakang dan pengalaman dalam Kemahiran Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) yang dimiliki oleh peserta TUBE-X kali ini adalah satu nilai tambah dan kelebihan dalam mengusahakan perniagaan sendiri secara kompeten dan profesional.
Menurutnya, seiring dengan perubahan arus perdana yang sangat mementingkan aspek inovasi, teknologi dan pendigitalan, golongan belia perlu menguasai pengetahuan dan kemahiran terkini dalam bidang tertentu bagi melibatkan diri dalam aktiviti keusahawanan yang bernilai tinggi.
Sehubungan itu beliau menggesa agar semua peserta dan alumni TUBE terus meneroka pelbagai bidang baharu berpertumbuhan tinggi.
Pada masa sama katanya, golongan belia perlu memberi perhatian mengenai kepentingan prinsip kemampanan dan kelestarian dalam perniagaan bagi memupuk kesan positif kepada alam sekitar dan masyarakat.
Tahun ini, seramai 805 usahawan belia bumiputera berjaya dilatih di bawah TUBE yang melibatkan peruntukan berjumlah RM12 juta.
Program yang dijenamakan sebagai TUBE-X bersempena tahun ke-10 penganjurannya tahun ini dilaksanakan oleh SME Corp. Malaysia iaitu agensi di bawah KUSKOP.
Pada majlis itu, seramai 150 peserta Zon Utara, Zon Pantai Timur dan Zon Tengah/Selatan diraikan. -- Utusan Borneo