Languages: Others

Semua kementerian, agensi wajib lapor inisiatif pembangunan PMKS

Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas hadir mempengerusikan mesyuarat sekretariat majlis pembangunan usahawan dan PMKS (SEK-MPUPK) Bil 3/2024 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA Ahmad Zahid bercakap pada sidang media selepas hadir mempengerusikan mesyuarat sekretariat majlis pembangunan usahawan dan PMKS (SEK-MPUPK) Bil 3/2024 di Kuala Lumpur, hari ini - Foto BERNAMA

 

KUALA KUMPUR: Semua kementerian, agensi dan kerajaan negeri yang terbabit dalam inisiatif keusahawanan serta pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) diwajibkan membuat pelaporan pencapaian inisiatif masing-masing, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, pelaporan inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan PMKS yang menyeluruh adalah penting bagi mengurangkan pertindihan program dalam kalangan agensi, seterusnya mengurangkan pembaziran sumber kerajaan.

 

Katanya, pada Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) Bilangan 3 Tahun 2024 yang dipengerusikannya hari ini dimaklumkan sebanyak 286 inisiatif serta program keusahawanan dan pembangunan PMKS dengan peruntukan berjumlah RM15.06 bilion telah dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA) sehingga separuh penggal tahun ini, menunjukkan peningkatan 10.8 peratus berbanding 2023.

Namun, katanya, pada mesyuarat itu juga turut dimaklumkan bahawa terdapat 40 program berjumlah RM32.8 bilion yang sedang dikenal pasti perinciannya.

Justeru, beliau mengarahkan pihak yang terbabit perlu membuat pelaporan pencapaian dalam tempoh masa dua minggu ini.

"Saya guna punca kuasa mesyuarat hari ini sebagai Pengerusi untuk menulis surat kepada Pengerusi dan Ketua Jabatan atau Ketua Pegawai Eksekutif kepada syarikat yang tidak melaporkan (pelaporan pencapaian) SMPEA ini untuk membuat pelaporan dua minggu dari hari ini.

"Kita mahu supaya maklumat ini sampai kepada sekretariat untuk kita sampaikan kepada Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan untuk dimasukkan di dalam ucapan Belanjawan (2025).

"Jika pencapaian memuaskan dan mewujudkan satu kesan gandaan kepada pencapaian tentunya adalah munasabah usaha untuk menambah bajet kepada agensi yang terbabit dalam pewujudan usahawan," katanya pada sidang media selepas Mesyuarat SE-MPUPK Bilangan 3 Tahun 2024 di sini, hari ini.

Hadir sama, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick dan Timbalannya, Datuk R. Ramanan; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy dan Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, penyelarasan program PMKS sesungguhnya berupaya memberikan impak yang signifikan.

Beliau berkata, ia jelas dibuktikan dengan pencapaian PMKS yang menunjukkan perkembangan positif hasil sokongan inisiatif dan intervensi kerajaan.

Katanya, terdapat pengurangan bilangan perusahaan bersaiz mikro sebanyak 16.9 peratus iaitu daripada 923,667 perusahaan pada 2022 kepada 767,421 perusahaan pada 2023.

Manakala, bilangan perusahaan bersaiz kecil pula, jelasnya, meningkat sebanyak 35.8 peratus dan bilangan perusahaan bersaiz sederhana bertambah sebanyak 7.9 peratus.

"Ini adalah satu petunjuk bahawa PMKS tempatan telah mula beralih ke tahap yang lebih tinggi," katanya.

Mengenai Belanjawan 2025, Ahmad Zahid berkata, ia akan lebih pragmatik dan berusaha ke arah mewujudkan belanjawan yang seimbang.

Bagi kementeriannya, beliau berkata, fokus tidak hanya tertumpu pada pembangunan infrastruktur di luar bandar, tetapi juga melihat peruntukan yang disediakan mewujudkan kesan berganda termasuk pembangunan ekonomi kawasan setempat.

Sebelum mempengerusikan Mesyuarat SEK-MPUPK itu, Ahmad Zahid juga berkesempatan melawat Hab PMKS yang terletak di SME Corp Malaysia.

Hab PMKS itu adalah platform pusat rujukan setempat bagi PMKS untuk memperoleh pengetahuan mengenai perniagaan dan mendapatkan khidmat nasihat perniagaan. -- Berita Harian

 

sumber: https://www.bharian.com.my/bisnes/lain-lain/2024/08/1284257/semua-kementerian-agensi-wajib-lapor-inisiatif-pembangunan-pmks

 

CONTACT US

SME Corporation Malaysia
Level 6, SME 1, Block B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Info Line: 03-9213 0077
Fax Line: 03-2775 6001
Email: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

Feedback Form

 

AGENCY LINKS

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

ABOUT
POLICIES

SME in Malaysia

SME Perfomance & Outlook

National Entrepreneurship Policy 2030 (DKN2030)

SME Policies

PROGRAMMES
INITIATIVES
GUIDES

Business Guides

Success Stories

Business Directory

Business Ethics

RESOURCES
CONTACT US