KUALA LUMPUR, 13 Februari- Semua 325 program keusahawanan dan pembangunan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melibatkan peruntukan RM33.8 bilion bawah Belanjawan 2024 berjaya dilaporkan.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menerusi hantaran di Facebook memaklumkan perkembangan itu sekali gus membuktikan keberhasilan Mesyuarat Sekretariat Majlis Pembangunan Usahawan dan PMKS Kebangsaan (SEK-MPUPK) yang menghendaki kesemua kejayaan itu dilaporkan dalam Pelan Tindakan Bersepadu PKS (SMEIPA).
SMEIPA merupakan mekanisme utama dalam menyelaras, memantau, dan menilai pelaksanaan program PMKS merentasi pelbagai kementerian dan aggensi.
"Selain itu, pelaporan SMEIPA bagi 2024 juga berjaya memperoleh laporan lengkap daripada kesemua 13 kerajaan negeri mengenai inisiatif berkaitan pembangunan PMKS. Ini merupakan pencapaian penting dan pertama kali direkodkan sejak SMEIPA diperkenalkan pada 2006," menurut hantaran itu.
Menurut Ahmad Zahid kejayaan berkenaan dicapai disokong hasil usaha berterusan melalui empat Mesyuarat SEK-MPUPK yang telah dilaksanakan sepanjang tahun lepas.
"Sebagai Pengerusi MPUPK, saya akan terus komited untuk terus memperkasakan ekosistem keusahawanan dan pembangunan PMKS di Malaysia melalui inisiatif yang lebih strategik dan menyeluruh demi kesejahteraan ekonomi negara," tambah kenyataan itu. -- Berita RTM
sumber: https://berita.rtm.gov.my/nasional/senarai-berita-nasional/senarai-artikel/semua-325-program-keusahawanan-pembangunan-pmks-2024-dilaporkan