KUALA LUMPUR, 3 Nov (Bernama) -- Kerajaan, melalui SME Corp, akan melancarkan siri kedua tabung Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) akhir bulan ini dengan peruntukan RM10 juta, kata Datuk Ahmad Maslan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) itu berkata, tabung tersebut akan dilancarkan serentak di seluruh Malaysia."Setiap geran di bawah siri kedua TUBE ini mempunyai nilai maksimum RM15,000," katanya kepada wartawan selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan SME-University Intership 2015 di sini, hari ini.
TUBE berperanan untuk membantu graduan yang menganggur untuk menceburi bidang keusahawanan, katanya. Sehubungan itu, Ahmad menggesa graduan universiti untuk mengubah mentaliti makan gaji kepada keusahawanan dalam menghadapi alam pekerjaan, terutama dalam keadaan ekonomi yang mencabar. Katanya, mentaliti makan gaji antara penyebab utama graduan menganggur selepas tamat pengajian.
"Kerajaan, melalui MITI dan agensi di bawahnya sentiasa menyediakan peluang dan ruang bagi graduan yang gagal mendapatkan pekerjaan untuk menceburi bidang keusahawanan," kata beliau.
Ahmad berkata, graduan yang berminat untuk menceburi bidang keusahawanan boleh memilih sama ada mengubah suai industri sedia ada seperti makanan dan minuman atau menceburi industri baru yang ber?potensi seperti bioteknologi.
Pada kejohanan tersebut, Universiti Teknologi Mara muncul juara manakala Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka muncul tempat kedua dan ketiga.
-- BERNAMA