JELI 28 Mei - Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri menyasarkan untuk meningkatkan penglibatan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam pasaran eksport sebanyak lima peratus lagi menjelang 2020.
Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, penguasaan usahawan PKS dalam eksport dilihat masih rendah apabila penyertaan mereka dalam sektor itu hanya 17 peratus sekarang.
“Oleh itu, pihak kementerian bersama agensi-agensi di bawahnya sedang merangka beberapa langkah dalam usaha mempertingkatkan sumbangan PKS kepada eksport yang dilihat mampu menjana pendapatan negara.
“Usaha ini secara tidak langsung dapat mengangkat produk tempatan ke peringkat global sejajar hasrat kerajaan untuk mengantarabangsakan industri PKS,” katanya dalam sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis pelancaran Minggu PKS 2016 Peringkat Kebangsaan di Sekolah Kebangsaan (SK) Gemang di sini hari ini.
Yang hadir sama Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp), Tan Sri Dr. Mohamed Al Amin Abdul Majid dan Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Datuk Dr. Hafsah Hashim.
Dalam masa sama, Mustapa mengajak usahawan PKS untuk meningkatkan daya saing dan produktiviti dengan menembusi pasaran antarabangsa selain peringkat tempatan.
Katanya, penggerak PKS tidak boleh hanya menjadi jaguh kampung, sebaliknya mereka perlu menyahut persaingan dalam kalangan jenama terkenal yang berada di pasaran.
“Penganjuran Minggu PKS pada setiap tahun adalah tepat pada masanya dalam usaha memberi pendedahan berkaitan pembangunan usahawan yang dianjurkan oleh kerajaan.
“Kerajaan menerusi agensi-agensi di bawahnya termasuk SME Corp mempunyai banyak program dan inisiatif bagi membantu orang ramai khususnya generasi muda yang mahu menceburi bidang usahawan PKS,” katanya.