KUALA LUMPUR, 9 Julai- Keusahawanan harus dilihat oleh Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai kerjaya sepenuh masa, sama ada kecil, sederhana, besar atau peringkat multinasional.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, ke arah itu PMKS perlu meneroka pasaran antarabangsa dan tidak hanya domestik semata-mata.
Seiring dengan usaha penerokaan tersebut, kementerian dan agensi terlibat harus memberikan sokongan daripada pelbagai sudut.
Tambah Ahmad Zahid, PMKS juga perlu merebut peluang perniagaan dalam talian seiring perkembangan teknologi 5G.
Peluang tersebut harus diambil bagi memperluaskan pasaran eksport yang dilihat semakin meningkat.
Beliau turut berharap agar lebih ramai usahawan dibantu untuk bersaing ke peringkat antarabangsa, sekali gus meningkatkan nilai eksport negara dan mempersiapkan usahawan untuk membuka potensi peringkat global.
Ahmad Zahid berkata demikian dalam ucapannya pada Majlis Perasmian Minggu Usahawan Negara (MUN) & Minggu PMKS Peringkat Kebangsaan 2023 di Dataran Merdeka, di sini.
MUN dan Minggu PMKS merekodkan kehadiran lebih 120,000 pengunjung dan berjaya merekodkan jualan langsung kira-kira RM1.96 juta ringgit serta potensi jualan sekitar RM51.61 juta.
(Ahmad Zahid Hamidi)