Landskap PMKS telah berkembang dengan baik sejak tahun 2016 sehingga 2021. Berdasarkan data terkini dalam Malaysia Statistical Business Register (MSBR) yang diterbitkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, terdapat 1,226,494 PMKS pada tahun 2021 yang menyumbang sebanyak 97.4% daripada keseluruhan pertubuhan di Malaysia. Terdapat peningkatan kira-kira 140,000 buah firma berbanding sejumlah 1,086,533 PMKS pada tahun 2016, lantas mencatatkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 5.2% setahun sepanjang tempoh enam tahun tersebut.
Memberi tumpuan kepada sektor ekonomi utama, sektor perkhidmatan secara konsisten menyumbang lebih 80% daripada semua PMKS sepanjang tempoh tersebut. Bagi profil terkini PMKS 2021, sektor perkhidmatan membentuk 83.8%, dengan jumlah 1,028,403 firma. Sektor pembinaan pula kekal sebagai penyumbang kedua terbesar iaitu 8.0% (98,274 firma). Sementara itu, kira-kira 5.8% PMKS (71,612 firma) terlibat dalam sektor pembuatan, diikuti oleh 1.9% (23,633 firma) dalam sektor pertanian, dengan baki 0.4% (4,572 firma) dalam sektor perlombongan & pengkuarian.
Dari segi saiz perniagaan, perusahaan mikro menonjol kerana menyumbang bahagian terbesar dalam komponen PMKS. Dari tahun 2016 hingga 2021, terdapat kenaikan lebih daripada 150,000 perusahaan mikro, mencatatkan kadar pertumbuhan purata sebanyak 5.6% setiap tahun. Melihat kepada komposisi pada tahun 2021, perusahaan mikro mencakupi 78.6% (964,495 firma) daripada jumlah pertubuhan PMKS, firma bersaiz kecil membentuk 19.8% (242,540 firma) dan baki 1.6% (19,459 firma) adalah PMKS bersaiz sederhana.
Dikemas kini: September 2022
Sumber: Malaysia Statistical Business Register, Jabatan Perangkaan Malaysia
Untuk maklumat lanjut, sila rujuk: https://www.dosm.gov.my/v1/index.php?r=column/cthree&menu_id=WXVrV3RYTmE3RmtwQ2RicVZTbVkvZz09