KUALA LUMPUR, 7 Dis (Bernama) -- SME Corp Malaysia menjangka penyertaan lebih banyak dalam Skim Penambahbaikan Suri Rumah dan Mengaktifkan semula Bakat (HEARTS) yang bertujuan mengembalikan wanita ke tempat kerja.
Ketua Pegawai Eksekutifnya Datuk Hafsah Hashim berkata setakat ini 809 suri rumah atau wanita yang berhenti kerja untuk sekurang-kurangnya enam bulan, atas pelbagai faktor, menyertai program itu dan bersedia untuk kembali ke tempat kerja.
"Setakat ini, 190 atau 25 peratus peserta telah kembali bekerja selepas menamatkan program HEARTS," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sesi dialog 'Hearts and Beyond', di sini Isnin.
Sesi itu meneroka peluang untuk peserta HEARTS sama ada mereka berminat untuk kembali bekerja atau menjadi usahawan.
HEARTS yang dilancarkan pada 2013 adalah kerjasama antara SME Corp dan TalentCorp Malaysa dan disokong oleh Tabung Pembangunan Sumber Manusia.
Program menyasarkan wanita berkahwin atau bujang, berusia antara 25 dan 60 tahun yang tidak bekerja.
Hafsah berkata pada masa ini kebanyakan syarikat yang menyertai program dengan menawarkan pekerjaan ialah syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat multinasional.
Namun, bilangan perusahaan kecil dan sederhana yang menunjukkan minat juga semakin meningkat, katanya.
-- BERNAMA