Bahasa: Lain-lain

Kejayaan Peserta TUBE Bukti Keupayaan SME Corp Lahir Usahawan Belia Cemerlang

Oleh Kamaliza Kamaruddin

KUALA TERENGGANU, 28 Feb (Bernama) -- Kejayaan semua 114 bekas peserta program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) Terengganu yang berjaya membuka perniagaan mereka sendiri membuktikan keupayaan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dalam memenuhi hasrat kerajaan untuk melahirkan usahawan belia.

Kecemerlangan kesemua usahawan muda itu adalah hasil bimbingan dan nasihat yang diberi SME Corp Terengganu di awal penubuhan perniagaan mereka hinggalah pemantauan agar sentiasa berada di landasan yang betul termasuk kualiti produk, pembungkusan dan pelabelan, urus tadbir syarikat serta pemasaran.

Pengarah SME Corp Terengganu, Muhammad Ibrahim berkata melalui TUBE 1.0, seramai 64 peserta telah pun berjaya memulakan perniagaan manakala menerusi TUBE 2.0, seramai 50 peserta kini berjaya bergelar usahawan.

Beliau berkata paling membanggakan pihaknya ialah pemilihan seorang bekas peserta TUBE 1.0 Terengganu yang diiktiraf sebagai antara tiga usahawan terbaik hasil program itu di seluruh negara.

"Amir Hakimin Che Razali telah diumumkan sebagai antara tiga peserta terbaik TUBE 2016 dalam majlis Apresiasi TUBE anjuran SME Corp Malaysia di Kuala Lumpur pada Rabu lalu.

"Pengiktirafan itu juga melayakkan beliau menerima tajaan daripada SME Corp Malaysia untuk menghantar beliau ke New Jersey, Amerika Syarikat, bagi mengikuti 'World Boot Camp' seliaan ICSB Academy selama dua minggu.

"Program lanjutan ini bertujuan untuk memberi pendedahan yang lebih luas kepada peserta TUBE terbaik dan membina jalinan perniagaan sesama usahawan muda di negara lain.

"Pencapaian ini sangat istimewa bagi kami di SME Corp dan peserta TUBE yang lain kerana kejayaan beliau adalah lambang kekuatan azam dan tekad generasi muda untuk bangkit memberi sumbangan dalam usaha membangunkan ekonomi negara," kata Muhammad ketika ditemui Bernama.

Anugerah itu disampaikan sendiri oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama dua lagi pemenang dari Sabah dan Pahang.

Amir, pemilik gimnasium di Bukit Payong, Marang, terpilih sebagai usahawan cemerlang berdasarkan kecemerlangan syarikatnya dalam aspek kepuasan pelanggan serta peningkatan promosi dan jualan yang memuaskan.

Pemilik Shredded Gym ini memilih perniagaan gimnasium kerana percaya ia lebih menguntungkan selain dapat memberikan perkhidmatan terbaik kepada individu yang memerlukan penjagaan kesihatan.

Amir yang memulakan perniagaannya pada Februari 2014 menerima bantuan geran permulaan perniagaan sebanyak RM15,000 yang dijadikan modal menerusi Program TUBE 1.0.

Selepas itu beliau juga menerima dana tambahan melalui Program Peningkatan PKS Bumiputera (BEEP) sebanyak RM90,000 bagi pembelian peralatan gim bagi mengembangkan lagi perniagaannya.

Amir ketika dihubungi Bernama berkata, beliau memilih SME Corp Malaysia sebagai sumber untuk memperoleh maklumat perniagaan dan modal kerana agensi ini mempunyai kepelbagaian program pembangunan terutamanya untuk golongan muda (B40) sepertinya yang ingin berkecimpung dalam bidang keusahawanan.

"Selain modal permulaan perniagaan, saya juga menerima bimbingan berkaitan perniagaan, khidmat nasihat dan pemantauan dari masa ke semasa oleh SME Corp Terengganu supaya syarikat sentiasa bergerak dan terus ke depan.

"Gimnasium saya sentiasa menerima maklum balas positif daripada pengguna dan perniagaan ini semakin memberangsangkan malah untuk perancangan masa depan, dengan modal pusingan yang ada, saya bercadang ingin membuka beberapa lagi cawangan Shredded Gym di Kelantan dan Pahang," katanya.

Beliau juga berterima kasih kepada kerajaan khususnya program TUBE yang membolehkan golongan muda terutama Bumiputera untuk bergiat aktif dalam bidang keusahawanan serta mendapat tunjuk ajar yang betul berkaitan perniagaan supaya apa yang dirancangkan bergerak dengan lancar.

"Sebagai orang baharu dalam dunia perniagaan, usahawan tidak boleh menadah tangan meminta bantuan tetapi mereka sendiri perlu menggandakan usaha terutamanya untuk tiga tahun pertama kerana ia adalah antara masa yang mencabar.

"Walaupun membuka gimnasium di tempat kelahiran saya, Kuala Terengganu dan bukannya bandar besar seperti Kuala Lumpur namun saya percaya pusat gimnasium ini akan menjadi terkenal dan boleh berkembang kerana era modenisasi kini menjadikan masyarakat tua dan muda sentiasa menitik beratkan kesihatan diri mereka," kata Amir.

-- BERNAMA

HUBUNGI KAMI

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp. Malaysia)

Tingkat 6, SME 1, Blok B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2 
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Talian Info: 03-9213 0077
Talian Faks: 03-2775 6001
Emel: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

 

Borang Maklumbalas

PAUTAN AGENSI

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

MENGENAI KAMI
POLISI

PKS di Malaysia

Prestasi PKS & Tinjauan

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Polisi PKS

PROGRAM
INISIATIF
PANDUAN
SUMBER
HUBUNGI KAMI