Program Padanan Perniagaan Pastikan Produk Capai Standard Halal
Exco Hal Ehwal Pengguna, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan berkata ini kerana permintaan kedua-dua negara adalah ke arah barangan halal.
"Keperluan paling ketara sekarang adalah barang atau produk dengan status halal. Jadi menerusi jaringan ini saya yakin produk kita boleh tembus ke Sumatera Utara dan produk mereka boleh tembus ke Perak," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelancaran program itu di sini hari ini.
Program julung kali diadakan selama tiga hari bermula semalam itu, dianjurkan Persatuan Pedagang dan Pengusaha Melayu Malaysia negeri Perak, Iwapi, InvestPerak, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) cawangan Perak dan SME Corp.
"Di Perak, kita berusaha melahirkan usahawan yang berjaya dan sudah pasti kita juga mahu mereka berjaya dari segi pemasaran.
"Dengan adanya program padanan perniagaan seperti ini, kerajaan negeri percaya ia mampu memberi impak tinggi dalam menyediakan jaringan pemasaran," katanya.
Samsudin berkata satu lawatan timbal balas ke Sumatera Utara juga akan diadakan dalam masa terdekat.
Melalui hubungan dua hala ini, beliau berharap usahawan di Perak tidak mensia-siakan peluang yang ada dan sentiasa memastikan semangat perniagaan kekal konsisten.
"Apabila sudah ada pasaran khususnya di Sumatera Utara, kita tidak mahu bekalan atau pasaran kita tergendala. Menerusi hubungan ini, kita perlu perancangan strategik dan bukan hanya main-main," katanya.
Sementara itu, Ketua Iwapi, Rosna Nurleily Siregar berkata pihaknya melihat program berkenaan sebagai langkah mengintai peluang perniagaan di Perak.
"Kami menyambut baik program yang dijalankan selama tiga hari ini dan berharap dapat memanfaatkan peluang perniagaan yang mungkin boleh diadakan di negeri ini satu hari nanti," katanya.
-- BERNAMA