Bahasa: Lain-lain

SMIDEX 2016 Dijangka Jana Jualan RM430 Juta Melalui Padanan Perniagaan

SMIDEX 2016 Dijangka Jana Jualan RM430 Juta Melalui Padanan Perniagaan

Oleh Zairina Zainudin

KUALA LUMPUR, 17 April (Bernama) -- SME Corp Malaysia menjangka Pameran Tahunan PKS 2016 (SMIDEX 2016) dapat menjana potensi jualan antara RM425 juta dan RM430 juta daripada sesi padanan perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Hafsah Hashim berkata beliau yakin sasaran itu boleh dicapai dan akan mengatasi jualan paras tertinggi sebanyak RM418 juta yang diperoleh pada SMIDEX sebelumnya.

"SMIDEX 2015 merupakan pameran yang berjaya kerana ia merupakan tahun ASEAN di mana pelbagai acara berkaitan ASEAN diadakan di luar acara SMIDEX, ditambah pula dengan kita mempunyai pavilion besar daripada perwakilan Amerika Syarikat.

"SMIDEX 2016 akan datang agak sukar. Kita berharap dapat menarik produk bernilai tinggi daripada sektor aeroangkasa serta perwakilan yang pertama kali mengambil bahagian dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang akan berminat dalam makanan dan minuman, tekstil, pakaian dan lain-lain," katanya kepada Bernama.

Hafsah berkata selain UAE, SMIDEX 2016 juga mendapat respons yang baik daripada perwakilan asing lain termasuk dari Mesir, Bangladesh, India, Jepun dan Korea Selatan.

Beliau berkata antara syarikat utama yang mengesahkan penyertaan dalam sesi padanan perniagaan itu ialah Mydin Mohamed Holdings Bhd, Telekom Malaysia Bhd, Pharmaniaga Pristine Sdn Bhd, Pos Malaysia Bhd, MASKargo Logistics Bhd, Rafale International, Prasarana Malaysia Bhd, Northport (M) Bhd dan MOLPay Sdn Bhd.

SMIDEX merupakan acara penting tahunan yang dianjurkan oleh SME Corp, mempamerkan keupayaan dan kapasiti perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam menawarkan produk, perkhidmatan dan teknologi untuk pasaran dunia.

Acara PKS yang dinanti-nantikan itu juga akan menjadi platform untuk syarikat multinasional (MNC) utama menampilkan keperluan mereka bagi bahagian-bahagian dan komponen, serta, menyediakan peluang besar bagi PKS untuk meningkatkan perniagaan ke tahap yang lebih tinggi dan menjadi sebahagian daripada rantaian nilai global.

Edisi ke-19 SMIDEX yang bertemakan, "Rising to the Challenge", dijadualkan berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada 17 hingga 19 Mei, 2016.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dijangka merasmikan acara yang akan menempatkan kira-kira 380 gerai pempamer, tempatan dan antarabangsa.

Hafsah berkata, tema yang dipilih untuk SMIDEX 2016 digambarkan dengan arus landskap perniagaan yang mencabar berkait antaranya dengan penilaian Ringgit dan turun naik harga minyak.

Beliau berkata SMIDEX akan membolehkan syarikat, terutamanya PKS, mempamerkan produk dan perkhidmatan dengan cara yang lebih jelas, dengan inovasi dan kreativiti yang lebih besar.

Buat kali pertama, SMIDEX tahun ini akan memperkenalkan pavilion baru yang akan mempamerkan perniagaan dalam talian seperti Lazada, mudah.my, Fashion Vallet, AliBaba, eBay dan lain-lain lagi, katanya.

"Kami mengakui perniagaan dalam talian mewujudkan satu trend pasaran dan perubahan kepada landskap perniagaan. Kami mahu menjadikan mereka yang boleh dilihat.

"Kami menyediakan platform kepada mereka untuk bertemu pembekal mereka secara bersemuka secara fizikal. Jika tidak, mereka hanya melihat mereka (pembekal) dalam talian," kata beliau, sambil menambah perniagaan dalam talian juga akan mengambil bahagian dalam sesi padanan perniagaan.

SMIDEX 2016 dijangka menarik 10,000 pelawat.

-- BERNAMA 

HUBUNGI KAMI

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp. Malaysia)

Tingkat 6, SME 1, Blok B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2 
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Talian Info: 03-9213 0077
Talian Faks: 03-2775 6001
Emel: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

 

Borang Maklumbalas

PAUTAN AGENSI

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

MENGENAI KAMI
POLISI

PKS di Malaysia

Prestasi PKS & Tinjauan

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Polisi PKS

PROGRAM
INISIATIF
PANDUAN
SUMBER
HUBUNGI KAMI