KUALA LUMPUR, 5 Nov -- Negara ASEAN perlu menerokai peluang untuk meningkatkan kerjasama dengan mewujudkan dana pelaburan pembangunan bersama untuk memacu pertumbuhan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di rantau itu, kata Menteri Pembangunan Usahawan Datuk Seri Mohd Redzuan Yusof .
Beliau berkata peniagaan memerlukan pelbagai elemen untuk berkembang, seperti pembinaan kapasiti, guna pakai teknologi, inovasi, latihan modal insan dan akses kepada pembiayaan.
"Daripada semua elemen ini, akses kepada pembiayaan dianggap paling penting kerana pembiayaan diperlukan untuk menangani kebanyakan isu lain," katanya dalam ucaptama pada bengkel akses PKS kepada sumber pembiayaan alternatif di ASEAN, di sini hari ini .
Bengkel iitu dibiayai oleh kerajaan Kanada dan dianjurkan bersama oleh Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD), SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Sekretariat ASEAN.
Sementara itu, Ketua Pegawai Pembangunan Ekosistem SME Corp, Mohd Rithaudden Makip berkata dana ASEAN bersama untuk PKS seperti yang dicadangkan oleh menteri adalah sesuatu yang positif.
"Setiap negara anggota mempunyai dana sendiri. Mewujudkan dana itu di peringkat ASEAN dapat membantu usahawan di rantau ini mengembangkan perniagaan mereka bukan sahaja di rantau ini tetapi juga di peringkat global, " katanya.
Malaysia,menurutnya, sedang berusaha untuk mengembangkan sumber pembiayaan alternatif berikutan kesukaran yang dihadapi oleh syarikat pemula niaga dan usahawan peringkat awal untuk mendapatkan akses pembiayaan daripada institusi kewangan.
"Terdapat jurang dalam keperluan pembiayaan dalam kalangan PKS, oleh itu wujud keperluan untuk membangunkan dan mengembangkan pembiayaan alternatif," katanya.
Mohd Rithaudden berkata negara sudah agak matang dalam instrumen pembiayaan alternatif termasuk modal ekuiti/modal teroka swasta, ekuiti pendanaan awam, rakan setara (P2P) dan juga pasaran Platform Pemecut Usahawan Utama (LEAP).
Sehingga September tahun ini, sebanyak 10 pengendali pendanaan awam di Malaysia telah berjaya mengumpul RM65.35 juta, yang telah memanfaatkan 69 penerbit yang berjaya.
Di samping itu, 11 pengendali P2P yang berdaftar juga berjaya mengumpulkan RM521.7 juta yang memanfaatkan 1,560 penerbit.
-- BERNAMA