SME Corp Malaysia akan melaksanakan pelan mitigasi bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) jika penularan koronavirus baharu semakin membimbangkan sehingga menjejaskan pretasi ekonomi industri itu.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said berkata, sebagai agensi yang bertanggungjawab terhadap pembangunan PKS, ia akan bekerjasama dengan kerajaan serta agensi berkaitan dalam penyediaan pelan itu sekiranya perlu.
“Penularan koronavirus ini sedikit sebanyak memberi kesan terhadap industri PKS terutama kepada sektor pelancongan dan peruncitan.
“Sebagai contoh, sambutan Tahun Baharu Cina baru-baru ini, industri pelancongan menerima impak seperti pembatalan tempahan daripada pelanggan yang ingin mengelak risiko koronavirus,” katanya.
Mengulas lanjut, Noor Azmi berkata, SME Corp juga akan melaksanakan beberapa program dan aktiviti bagi memastikan industri PKS dapat membantu kerajaan mencapai KDNK yang disasarkan.
“Program akan dilaksanakan dengan kolaborasi bersama agensi berkaitan dalam membangunkan industri PKS untuk memastikan kita dapat mencapai sasaran,” katanya. - Bernama
Disember tahun lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng berkata, kerajaan mengekalkan sasaran unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada 4.8 peratus untuk tahun ini walaupun World Bank menyemak semula unjurannya kepada 4.5 peratus.
Jangkitan koronavirus bermula dari bandar Wuhan dalam wilayah Hubei, China dan telah merebak kes seluruh dunia termasuk Malaysia dan Singapura dengan 636 kematian sehingga kini.