KEMENTERIAN Pembangunan Usahawan dan Koperasi menerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp) komited menjadikan Malaysia sebagai hab dron di Asia Tenggara sekali gus merebut peluang pasaran dron global yang dianggarkan mencecah AS$63.6 bilion (RM267.28 bilion) menjelang 2025.
Pengerusi SME Corp, Datuk Seri Syed Hussein Al Habshee berkata, pihaknya sudah mengenal pasti mobiliti udara adalah bidang kritikal yang mana usahawan tempatan perlu ceburi terutama industri berkaitan dron yang semakin meningkat sejak beberapa tahun ini.
“Sehingga kini, sebanyak 15 syarikat tempatan yang bergiat secara aktif dalam kecerdasan buatan (AI), sensor, pengimejan digital, analisis data dan pembangunan bateri di bawah subsektor mobiliti udara,” katanya di majlis pelancaran Global Drone Conference & Hackathon 2020 (GDCKL2020) di sini, semalam.
GDCKL2020 menghimpunkan lebih 20 pakar industri antarabangsa dari bidang berkaitan untuk berbincang dan meninjau strategi serta langkah ke hadapan yang seterusnya bagi penggunaan dron komersial secara efisien di Malaysia dan Asia.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Noor Azmi Mat Said berkata, pihaknya menjangka 10 lagi syarikat tempatan akan terbabit secara aktif dalam industri dron negara.
“Kami mencari perusahaan kecil dan sederhana (PKS) melalui Program Impak Tinggi 2 (HIP 2) yang menyediakan penyelesaian kepada pasaran.
“Melalui HIP 2, sebanyak RM5 juta dana diperuntukkan bagi disalurkan ke beberapa industri berkaitan termasuk dron,” katanya.
Menurutnya, jumlah syarikat yang diluluskan bagaimanapun bergantung kepada kertas kerja, penyelesaian dan ketersediaan mereka dalam pasaran.
Beliau berkata, pihaknya juga sudah menerima beberapa kertas kerja daripada syarikat yang membangunkan kamera termal dan pengesan wajah bagi mengenal pasti suhu badan orang ramai dan dron berkenaan juga akan memberi amaran dan merakam imej seseorang.