KUCHING: Dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara pengeluar makanan, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) menyasarkan penglibatan golongan belia untuk menceburkan diri dalam pertanian makanan.
Menterinya Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, proses kajian serta kertas kerja telahpun diselesaikan kementeriannya, dan akan dibentangkan kepada kabinet pada penghujung Jun 2020.
“Pelan tersebut merangkumi pemberian geran, dana, pinjaman, dan latihan yang akan membuka peluang kepada usahawan muda untuk berkembang.
“Seperti diumum Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Zohari Tun Abang Haji Openg, Sarawak kini dalam usaha untuk menggerakkan sektor pertaniannya ke skala yang lebih besar,” katanya setelah melawat Tempat Pemprosesan Kekal Tanaman dan Makanan Rampangi, Sabtu.
Katanya lagi, kementeriannya juga telah memulakan kerjasama strategik bersama Kementerian Belia dan Sukan dan Kementerian Pengajian Tinggi untuk melaksanakan program keusahawanan belia.
“Kami akan membantu bimbing golongan belia yang tidak berpeluang menyambung pelajaran atau bekerja. Kementerian saya mempunyai kemudahan latihan dan ada dana yang tersedia seperti SME Corp, SME Bank, Tekun dan Bank Rakyat,” katanya.