KUALA LUMPUR: SME Corp Malaysia dan Aspirasi yang juga penyedia perkhidmatan kewangan digital di bawah Axiata Digital memperkenalkan program Aspirasi Assist yang menawarkan pembiayaan patuh Syariah mencecah RM150 juta kepada usahawan mikro tempatan.
Aspirasi Assist menawarkan pembiayaan RM1,000 hingga RM20,000 bagi membantu usahawan mikro tempatan yang terkesan akibat COVID-19.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Aspirasi Assist adalah satu pendekatan terbaik syarikat swasta dalam menawarkan pembiayaan kewangan alternatif kepada usahawan tempatan.
"MEDAC akan menjadikan model ini sebagai kaedah terbaik untuk meningkatkan akses usahawan tempatan khususnya mikro mendapat pembiayaan selain dari bank.
"Ini kerana permintaan untuk pembiayaan terus meningkat, tetapi kapasiti kerajaan turut terbatas dan kami sentiasa menyokong syarikat swasta yang diiktiraf dalam menyediakan pembiayaan alternatif.
"Untuk ini, saya harapkan syarikat swasta lain berupaya bekerjasama dengan agensi di bawah MEDAC termasuk TEKUN Nasional untuk menawarkan instrumen sama," katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menyaksikan pertukaran Memorandum Perjanjian (MoA) antara SME Corp Malaysia dan Aspirasi di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Pengerusi SME Corp Malaysia, Datuk Seri Syed Hussien Al Habshee; Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Rizal Nainy; Ketua Pegawai Eksekutif Axiata Digital, Mohd Khairil Abdullah; dan Pengarah Eksekutif Aspirasi, Sheyantha Abeykoon.
Sementara itu, Mohd Khairil berkata, Aspirasi Assist menawarkan terma yang menguntungkan usahawan termasuk penangguhan bayaran balik selama enam bulan dan kadar keuntungan serendah 0.5 peratus.
"Lebih menarik, permohonan boleh dilakukan menerusi dalam talian www.aspirasi.co dengan dengan tempoh memproses permohonan hanya tiga minit manakala pemohon yang diluluskan akan menerima dana dalam tempoh 48 jam dengan tempoh pembiayaan sehingga 18 bulan.
"Selain kadar faedah rendah, Aspirasi Assist juga menyediakan insurans mikro sebagai faedah tambahan untuk melindungi pemohon yang diluluskan pembiayaan," katanya.
Menyentuh mengenai kriteria pemohon, beliau berkata, ia adalah pelbagai di mana setiap pemohon akan disaring menerusi enjin pengesanan secara maya bagi menentu sama ada mereka layak atau sebaliknya berdasarkan butiran yang disalurkan menerusi permohonan dalam talian.
"Syarikat pemula niaga juga digalakkan memohon Aspirasi Assist ini. Kita tidak menetapkan berapa jumlah usahawan yang kita ingin bantu tetapi harapan kita adalah seberapa yang mampu kita salurkan pembiayaan," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Wan Junaidi berkata MEDAC akan mengemukakan cadangan kepada Kabinet untuk menyalurkan pelbagai insentif termasuk pelepasan cukai kepada syarikat swasta yang menawarkan pembiayaan alternatif kepada usahawan tempatan.
Beliau berkata, insentif berkenaan dilihat dapat menggalakkan lebih banyak penyertaan syarikat swasta berdaftar berkaitan kewangan untuk bekerjasama dengan agensi kerajaan khususnya di bawah MEDAC.