Penyampaian mock cheque kepada Syarikat Penerima Pembiayaan oleh Ketua Setiausaha, Datuk Suriani Datuk Ahmad (4 dari kiri) Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi ketika Majlis penutup SMIDEX 2021 dan Pelancaran Program Pembiayaan Digital PMKS di SME Corp. Malaysia. - NSTP/AMIRUDIN SAHIB.
KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) memperkenalkan program pembiayaan baharu dikenali Pembiayaan Digital PMKS dengan dana permulaan RM10 juta, sejajar dengan tema Pameran Tahunan PMKS (SMIDEX 2021) iaitu 'Bangkit Kembali'.
Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Suriani Ahmad, berkata menerusi program rintis itu, sebuah Pengendali Pembiayaan Rakan Setara (P2P) berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC), iaitu microLEAP, dilantik bagi menyediakan penyelesaian pembiayaan jangka pendek inovatif dan pantas untuk perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan menggunakan platform digital.
"MEDAC serta SME Corp amat positif bahawa program ini akan dapat membantu PMKS dalam menangani cabaran yang dihadapi dalam tempoh yang sangat mencabar ini dan bangkit kembali pada tahun 2022.
"Permohonan pinjaman melalui platform digital P2P boleh disempurnakan 100 peratus secara dalam talian dan pertimbangan permohonan hanya akan mengambil masa antara tujuh sehingga 14 hari bekerja.
"Sekiranya PMKS setuju dengan terma dan syarat pinjaman ditawarkan dan memberi persetujuan menggunakan platform digital, saya difahamkan bahawa penyaluran akan dibuat dengan serta-merta dalam tempoh masa tiga hari," katanya ketika berucap pada Majlis Penutup SMIDEX 2021 dan Pelancaran Program Pembiayaan Digital PMKS di sini hari ini.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy; dan Ketua Pegawai Eksekutif MicroLEAP, Tengku Danny Nasaifuddin Mudzaffar.
Melalui program ini juga, PMKS akan dapat memohon pembiayaan pinjaman jangka pendek antara RM50,000 sehingga RM500,000 dengan kadar tetap serendah 2.0 peratus setahun bagi tujuan modal kerja dan aktiviti peningkatan keupayaan perniagaan yang boleh ditukar kepada geran padanan sehingga 50 peratus daripada jumlah pinjaman diluluskan.
Suriani berkata, penggunaan platform digital itu bukan sahaja pantas, malah memudahkan proses dokumentasi pemohon.
"MicroLEAP juga menyediakan produk patuh syariah dengan akses 24/7 untuk permohonan pembiayaan dalam talian bagi membolehkan PMKS untuk memohon pada bila-bila masa sahaja.
"Ini adalah satu penambahbaikan kepada proses pembiayaan yang dihulurkan kepada PMKS di luar sana, dan pihak MEDAC berjanji akan meneruskan proses penambahbaikan dari semasa ke semasa bagi membantu PMKS untuk mendapatkan akses kepada kewangan dengan lebih baik serta meluas lagi," katanya.
Sementara itu, Rizal berkata, lebih 40 PMKS dijangka memanfaatkan program pembiayaan itu, dengan penawaran akan dibuat berterusan dengan sokongan MicroLEAP meskipun dana awal yang disediakan digunakan sepenuhnya.
"Pembiayaan Digital PMKS ini akan dilaksanakan berterusan dengan asas kitaran di mana bayaran balik yang dibuat PMKS yang menerima pembiayaan ini dijadikan modal pusingan untuk ditawarkan kepada pemohon lain.
"Kita juga akan mempertimbangkan dana tambahan jika pembiayaan ini mendapat sambutan luar biasa daripada PMKS," katanya. -- Berita Harian