Bahasa: Lain-lain

Misi perdagangan ke Turkiye jana nilai dagangan bernilai RM1.1 bilion - SME Corp

Turkiye rakan dagang ketiga terbesar Malaysia dalam kalangan negara Asia Barat - Foto Reuters

 


KUALA LUMPUR: Misi perdagangan ke Turkiye membabitkan 10 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Malaysia baru-baru ini berjaya menjana jumlah nilai dagangan sebanyak RM1.1 bilion, di sebalik kesan pandemik dan cabaran global.

Misi ke Istanbul dan Sakarya, yang diadakan pada 26 Februari sehingga 6 Mac 2023 telah diketuai oleh SME Corporation Malaysia (SME Corp), agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) dan Dewan Perniagaan dan Industri Islam Antarabangsa Malaysia (MIICCI).

Sepanjang misi sembilan hari itu, sebanyak 97 siri perbincangan perniagaan mengenai penyumberluaran produk dan perkhidmatan telah diadakan yang membabitkan 72 syarikat Turkiye dan 10 syarikat Malaysia dalam sektor makanan & minuman, farmaseutikal, penjagaan kesihatan peribadi, minyak & gas dan sistem solar.

Inisiatif ini membuktikan usaha berterusan Malaysia untuk meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi dengan mewujudkan peluang akses pasaran kepada usahawan tempatan untuk meneroka pasaran Turkiye.


Minat mendalam yang ditunjukkan oleh syarikat Turkiye semasa misi perdagangan itu menjadi pemangkin utama dalam menyokong pengantarabangsaan PKS kedua-dua negara.

Delegasi Malaysia juga diberikan pendedahan mengenai peraturan dan undang-undang import Turkiye, keperluan perniagaan serta ciri-ciri pasaran tempatan melalui siri seminar, lawatan tapak, sesi pemadanan perniagaan dan peluang rangkaian.

Pihak yang terbabit dari Turkiye adalah Small and Medium Enterprise Development Organisation of Turkiye (KOSGEB), Turkiye Halal Certification Body (GIMDES), Independent Industrialist and Businessmen's Association (MUSIAD), Dewan Perdagangan GEBZE, Dewan Perdagangan KOCAELI dan Dewan Perdagangan SAKARYA.

Kerjasama strategik antara SME Corp, MIICCI dan persatuan/dewan perniagaan dari Turkiye ini melambangkan kepentingan sinergi ekosistem perdagangan dalam meningkatkan daya saing perdagangan Malaysia serta mengukuhkan hubungan dua hala Malaysia-Turkiye, terutamanya dalam sektor ekonomi.

Misi ini juga menyaksikan beberapa komitmen usaha sama (JV) dipersetujui membabitkan PS Polypack Sdn Bhd dengan Pimtas Plastik, Agym Nutrition Sdn Bhd dengan Yeni Elif dan Avecena Glove Sdn Bhd dengan Gebze Guzeller, serta Memorandum Persefahaman (MoU) antara Petro Teguh (M) Sdn Bhd dan Asas Corporation dari Turkiye.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata, misi ini adalah sebahagian daripada usaha SME Corp untuk meningkatkan keupayaan pra-eksport PKS serta mewujudkan lebih banyak peluang untuk komuniti perniagaan Malaysia menerokai pasaran global.

Beliau berkata, SME Corp juga menawarkan beberapa inisiatif lain untuk menyokong pengantarabangsaan PKS melalui Program Pengukuhan Eksport PKS yang telah dibuka untuk permohonan mulai 15 Mac 2023.

"Program ini menggalakkan transformasi PKS ke pasaran global dengan mewujudkan rangka kerja berasaskan pasaran melalui penyediaan bantuan kewangan dalam bentuk geran padanan untuk pelbagai aktiviti berkaitan eksport.

"Bagi meningkatkan penjenamaan di peringkat global, SME Corp juga melaksanakan program National Mark of Malaysian Brand (NMMB), satu program pensijilan yang melambangkan kualiti, kecemerlangan dan keunggulan produk dan perkhidmatan PKS Malaysia yang setanding dengan standard antarabangsa," katanya dalam satu kenyataan.

Malaysia dan Turkiye menandatangani Perjanjian Perdagangan Bebas (MTFTA), yang dimeterai pada 1 Ogos 2015.

Sehingga Disember 2022, kadar purata pertumbuhan tahunan perdagangan dua hala antara Malaysia dan Turki adalah 34 peratus, menunjukkan masih banyak ruang untuk sektor perniagaan memanfaatkan MTFTA.

Pada tahun 2022, Malaysia adalah rakan dagang terbesar Turkiye di ASEAN manakala Turkiye rakan dagang ketiga terbesar Malaysia, destinasi eksport terbesar dan sumber import keenam terbesar dalam kalangan negara Asia Barat dengan jumlah eksport Malaysia ke Turki berjumlah RM17.39 bilion pada 2022. -- BH ONLINE

 

HUBUNGI KAMI

Perbadanan Perusahaan Kecil dan Sederhana Malaysia
(SME Corp. Malaysia)

Tingkat 6, SME 1, Blok B 
Platinum Sentral
Jalan Stesen Sentral 2 
Kuala Lumpur Sentral
50470 Kuala Lumpur

Talian Info: 03-9213 0077
Talian Faks: 03-2775 6001
Emel: info[at]smecorp[dot]gov[dot]my

 

Borang Maklumbalas

PAUTAN AGENSI

 

jata negara medac
Tekun2 Institut Keusahawanan Negara SKM1
output onlinepngtools Logo UDA smebank
logo bankrakyat pernas  aim

 

MENGENAI KAMI
POLISI

PKS di Malaysia

Prestasi PKS & Tinjauan

Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030)

Polisi PKS

PROGRAM
INISIATIF
PANDUAN
SUMBER
HUBUNGI KAMI