PRESTASI: Ewon semasa berada di sidang media Prestasi PMKS di sini.
KOTA KINABALU: Perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) yang mempunyai 1.17 juta pertubuhan di Malaysia pada 2022 merangkumi 97.4 peratus daripada jumlah perniagaan dalam negara berjaya mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang amat memberangsangkan tahun lalu.
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata kejayaan pertumbuhan dua digit (double-digit growth) sebanyak 11.6 peratus itu dilihat sebagai peningkatan yang amat ketara berbanding hanya 1.3 peratus pada 2021.
“Pertumbuhan ini kembali mengatasi pertumbuhan KDNK keseluruhan negara iaitu sebanyak 8.7 peratus pada 2022 sekaligus memperlihatkan sumbangan PMKS kepada ekonomi negara meningkat daripada RM520.0 bilion pada 2021 kepada RM580.4 bilion tahun lalu.
“Pencapaian ini selari dengan hasil kaji selidik PMKS 2023 yang dijalankan SME Corporation Malaysia (SME Corp) dengan menunjukkan PMKS mengalami penurunan jualan pada 2021, tetapi bangkit semula pada tahun 2022 disebabkan oleh pembukaan semula ekonomi.
“Aliran jualan yang menggalakkan ini dijangka terus meningkat tahun ini dengan sentimen perniagaan dalam kalangan PMKS adalah lebih baik dan optimistik di mana sebanyak 62.9 peratus menjangkakan perniagaan PMKS bertambah baik pada 2023,” katanya semasa sidang media PMKS di sini.
Beliau berkata eksport PMKS juga dilihat terus melonjak sebanyak RM20.2 bilion iaitu RM144.5 bilion berbanding RM124.3 bilion pada 2021.
Beliau bagaimanapun berkata peratus sumbangan PMKS kepada jumlah eksport menurun kepada 10.5 peratus pada tahun 2022 berbanding 11.4 peratus pada 2021 memandangkan eksport daripada syarikat besar dan multinasional berkembang pada kadar yang lebih tinggi.
“Angka ini menunjukkan betapa pentingnya PMKS tempatan menjadi sebahagian daripada perniagaan global, dengan kemajuan teknologi yang menyebabkan dunia kini tanpa sempadan, PMKS perlu menyertai perniagaan eksport sekiranya ingin kekal relevan untuk tempoh lama.
“Antara kekangan yang dihadapi oleh PMKS untuk mengeksport adalah kurang pengetahuan dan risikan pasaran serta tiada rangkaian (networking) dalam pasaran eksport yang disasarkan.
“Kementerian saya dan agensi akan menggandakan usaha bagi menggalakkan lebih ramai PMKS untuk memasuki pasaran eksport,” katanya.
Tambahnya program pengantarabangsaan PMKS yang lebih bersasar, kos efektif dengan pulangan yang tinggi juga akan diperkenal.
“Sebagai contoh, satu misi perdagangan bersasar yang sudah dianjurkan oleh SME Corp. Malaysia bersama persatuan perniagaan dan beberapa syarikat ke Turkiye dalam bulan Februari tahun ini berjaya menghasilkan nilai eksport RM1.1 bilion melalui empat jalinan kerjasama dan perjanjian usaha sama yang dimeterai.
“Saya dimaklumkan, kos bagi setiap satu syarikat yang menyertai misi ini hanyalah RM15,000,” katanya.
Ewon berkata dari segi pasaran pekerja, PMKS akan menggaji 7.59 juta pekerja, iaitu kenaikan sebanyak 3.8 peratus dengan sumbangan PMKS kepada jumlah guna tenaga meningkat kepada 48.2 peratus pada tahun 2022 berbanding 47.8 peratus pada 2021.
“Poduktiviti pekerja PMKS juga bertambah baik dengan mencapai nilai RM76,433 bagi setiap pekerja berbanding RM71,089 bagi setiap pekerja pada tahun sebelumnya.
“Saya yakin, produktiviti PMKS akan dapat dipertingkat dengan pelaksanaan lebih banyak inisiatif ke arah membantu PMKS dalam mengadapatasi teknologi dan pendigitalan,” katanya.
Dalam pada itu katanya meskipun persekitaran dalam negera dan global mencabar, PMKS kekal berdaya saing dan berada dalam momentum pemulihan secara beransur-ansur, seterusnya membuktikan peranan penting PMKS sebagai tonggak ekonomi Malaysia.
“Prestasi PMKS yang menggalakkan ini susulan pendekatan dan dasar yang berstruktur selaras dalam pembangunan PMKS serta pelbagai pakej rangsangan yang diberikan kerajaan dalam menyokong PMKS untuk pulih dari kesan pandemik COVID-19.
“Pemulihan dan pembangunan PMKS dijangka terus kukuh tahun ini dengan mengambil kira strategi jangka pendek dan panjang supaya PMKS lebih bersedia menghadapi sebarang kejutan masa depan demi memastikan kelangsungan perniagaan,” katanya.
Tambahnya strategi yang digariskan oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) akan menjadi pemangkin utama dalam melahirkan jaguh PMKS serantau, iaitu salah satu aspirasi dalam rangka kerja untuk memperkasakan Ekonomi Madani.
“Pelaksanaan strategi ini akan disokong oleh 225 program pembangunan PMKS yang sedang dilaksanakan oleh 12 Kementerian, 56 Agensi dan tujuh kerajaan negeri dengan peruntukan dana sebanyak RM10.6 bilion.
“Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah menggalakkan lebih ramai pelabur untuk membiayai PMKS, menambah geran padanan digitalisasi sebanyak RM100 juta bagi membantu PMKS beralih kepada digitalisasi dan menambah peruntukan RM400 juta untuk pinjaman mikro di bawah agensi-agensi termasuk SME Corp. Malaysia dan TEKUN Nasional yang juga agensi di bawah KUSKOP,” katanya. --UTUSAN BORNEO