Rizal (dua dari kanan) bertukar dokumen kerjasama antara SME Corp dan MTDC bersama Mohammad Hazani (dua dari kiri) di Kuala Lumpur, hari ini -NSTP/Amirudin Sahib
KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) yakin dapat membantu negara mencapai sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang 2025 dengan meneroka pasaran eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy, berkata unjuran itu adalah berdasarkan kepada inisiatif dan rangka kerja berterusan yang dilaksanakan kedua-dua pihak.
Beliau berkata, kerjasama antara SME Corp dan MTDC menerusi program 'Transforming SMEs into Exporters' (TSMEX) yang akan diperkenalkan tidak lama lagi akan menyokong lebih banyak PMKS tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara melalui eksport.
Inisiatif TSMEX itu, katanya akan membolehkan PMKS mendapat latihan, bimbingan serta manfaat daripada pengetahuan, kepakaran dan pengalaman MTDC dalam teknologi.
"Untuk permulaan, kerjasama itu akan memberi bimbingan kepada antara 30 ke 60 syarikat PMKS yang berkelayakan menembusi pasaran luar negara. Di bawah SME Corp iaitu Program PKS Lestari, kami sudah mempunyai sebanyak 300 syarikat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.
"Namun, melalui kerjasama dengan MTDC, kami sasarkan 10 ke 20 peratus daripada 300 PMKS diberi bimbingan untuk memberi nilai tambah kepada sumbangan eksport negara.
"Jika kita lihat PMKS yang mengeksport sekarang nilainya hanya 10.5 peratus kepada KDNK dalam RM144 bilion dan mengikut tinjauan kami pada awal tahun, hanya 15 peratus daripada keseluruhan PMKS yang mengeksport, kebanyakannya daripada sektor pembuatan," katanya selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MTDC dan SME Corp di sini, hari ini.
Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan.
Rizal berkata, perkongsian strategik itu adalah perlu bagi meningkatkan bilangan PMKS yang berupaya untuk mengeksport.
Beliau berkata, ia juga menandakan satu langkah penting kerana perkongsian strategik itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak untuk mewujudkan rangkaian usahawan yang mampu mengakses kepada teknologi.
"Ini sekali gus membantu PMKS mengharungi cabaran, mengembangkan jangkauan pasaran mereka melalui eksport dan tidak hanya menjadi 'jaguh' dalam pasaran domestik," katanya.
Sementara itu, Mohammad Hazani berkata, MoU dengan SME Corp akan mengukuhkan lagi kerjasama mereka dan memanfaatkan kepakaran MTDC dalam memupuk dan menyokong perusahaan yang dipacu teknologi.
Beliau berkata, dengan menggabungkan sumber dan kepakaran, pihaknya boleh menyediakan platform yang teguh untuk PMKS berkembang maju dalam pasaran yang sentiasa berubah dan menyediakan peluang eksport kepada PMKS tempatan.
Katanya, program TSMEX akan disusun dan dilaksanakan oleh akademi latihan MTDC, Technopreneur Training Academy (Tentra) yang dimulakan dengan program latihan tujuh hari untuk 300 syarikat.
"PMKS ini akan memperoleh pengetahuan berguna dan pemahaman yang mendalam mengenai proses dan amalan pengeksportan terbaik.
"Selepas tamat latihan tujuh hari, antara 30 ke 60 PMKS berpotensi akan dipilih dengan teliti oleh MTDC dan SME Corp untuk didaftarkan dalam program intensif tiga bulan, di mana mereka akan dilatih oleh pakar industri dan profesional untuk membantu membangunkan rancangan serta strategi eksport," katanya.
Kriteria pemilihan PKS untuk menyertai program TSMEX adalah syarikat yang sudah beroperasi lebih enam bulan, berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pemilikan ekuiti Malaysia dan mempunyai perolehan jualan tahunan minimum RM300,000.
Program akan bermula pada Januari 2024 dengan peserta terpilih, diikuti dengan sesi latihan dan dijangka berakhir pada September 2024. -- BH Online