Ewon berkata anugerah ini turut menyasarkan PMKS tempatan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran antarabangsa. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Anugerah Enterprise 50 (E50) 2024 yang mengiktiraf pencapaian terbaik perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam perniagaan kini kembali dengan pencarian 50 PMKS tempatan terunggul di Malaysia.
Program dwitahunan itu juga merupakan mekanisme penilaian terhadap PMKS yang mampu mendorong perubahan ke arah peningkatan daya saing serta sumbangan mereka kepada ekonomi negara.
Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata anugerah ini turut menyasarkan PMKS tempatan yang menghasilkan produk dan perkhidmatan berkualiti bukan sahaja untuk pasaran tempatan tetapi juga untuk pasaran antarabangsa.
“Kita buka penyertaan seluasnya kepada semua PMKS kepada semua lapisan masyarakat tidak kira dalam atau luar bandar, golongan wanita, belia dan sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Anugerah E50 2024 di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan, Usahawan dan Koperasi Datuk R. Ramanan dan Pengerusi SME Corporation Malaysia (SME Corp. Malaysia) Tan Sri Bernard Dompok.
Ewon berkata program anjuran SME Corp. Malaysia yang telah diadakan sejak 1997 itu turut memperkenalkan kategori baharu iaitu Anugerah Amalan ESG Terbaik E50 selain ketagori sedia ada iaitu Anugerah Usahawan Wanita Terbaik E50 dan Anugerah Usahawan Eksport Terbaik E50.
“Anugerah baharu yang kita perkenalkan ini sebab kita mahu syarikat PMKS menerapkan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) dalam perniagaan mereka,” katanya.
Dalam pada itu, Ewon berkata sejak anugerah itu diperkenalkan, sejumlah 2,225 PMKS telah menyertai program ini dan sebanyak 763 syarikat telah menerima anugerah E50 ini.
“Daripada jumlah ini juga, sebanyak 67 pemenang telah berjaya tersenarai dalam pasaran modal,” katanya.
Permohonan Anugerah E50 2024 pada tahun ini akan dilaksanakan sepenuhnya secara dalam talian melalui Sistem MyBPI dan pencalonan akan dibuka sehingga 30 Jun depan dan programnya dijangka akan diadakan pada Oktober depan. -- BERNAMA