KUCHING, 21 Mei: Belia Sarawak yang menyertai Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) telah menjana jualan terkumpul melebihi RM13.65 juta sejak program itu diperkenalkan pada 2014.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan berkata, menerusi program tersebut sebanyak lebih 1,691 peluang pekerjaan diwujudkan setakat ini.
“Seramai 879 belia Sarawak telah menyertai program TUBE, mencipta lebih 1,691 peluang pekerjaan dan menjana jualan terkumpul melebihi RM13.65 juta,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Peluncuran Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE) 11 2025 Sarawak di sini, hari ini.
Program TUBE diasaskan oleh SME Corp. Malaysia sejak 2014 dengan objektif untuk melahirkan usahawan belia Bumiputera sebagai pencipta pekerjaan melalui keusahawanan.
Menurut Awang Tengah, program TUBE telah melatih lebih 8,543 belia, mencipta lebih 15,800 peluang pekerjaan dan menjana jualan terkumpul melebihi RM194 juta.
Pada masa sama, Awang Tengah yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak memaklumkan bahawa sejak 2021, Kerajaan Sarawak melalui kementeriannya telah menawarkan pelbagai bantuan bernilai lebih RM204.3 juta kepada 37,599 Perusahaan Mikro, Kecil & Sederhana (PMKS) dan golongan belia Sarawak.
Bantuan berkenaan antara lain disalurkan menerusi Program Graduan ke Arah Keusahawanan (GERAK) dan Usahawan Teknikal & Vokasional (USTEV), Program Go Digital, Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) , Skim Kredit Mikro Sarawak (SKMS) dan Skim Pinjaman Industri Kecil dan Sederhana (SPIKS).
“Saya berharap agar usahawan Sarawak sentiasa mengambil peluang untuk memaju dan mengembangkan perniagaan mereka serta terus berdaya saing di pasaran global melalui inisiatif-inisiatif yang disediakan oleh Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Sarawak,” katanya. – TVS
sumber: https://www.tvsarawak.my/2025/05/21/peserta-tube-sarawak-jana-lebih-rm13-juta-jualan-terkumpul-sejak-2014/